ALOR SETAR: Bimbang dengan kemudaratan penularan pandemik Covid-19, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah merayu orang ramai terutama golongan muda tidak menyertai perhimpunan jalanan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan di Kuala Lumpur, 21 Ogos ini.
Naib Pengerusinya, Amirul Syahir Musa berkata, pihaknya menyatakan bantahan dan tanda tidak setuju ke atas mereka yang berhimpun atau terlibat dalam apa juga perhimpunan seperti itu.
“Negara masih dalam kemelut memerangi Covid-19, kebelakangan ini varian Delta yang baharu lebih cepat merebak dan boleh membahayakan apa jua tindakan dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal.
“Sebarang perhimpunan dan perarakan adalah dilarang sama sekali dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperuntukkan di bawah Akta 342 dan peraturan di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, perhimpunan yang diadakan tanpa kebenaran adalah perhimpunan haram yang jelas melanggar undang-undang khususnya di bawah Akta 342 dan boleh diambil tindakan di bawah kanun keseksaan.
“Perhimpunan ini akan menyukarkan lagi usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara dan menyebabkan kehilangan pelabur asing apabila kes Covid-19 semakin meningkat,” tambahnya.
Sebelum ini akhbar ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan rancangan untuk mengadakan satu perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedia maklum rancangan untuk mengadakan perhimpunan jalanan tersebut pada 21 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE










