BALING: Tok Batin di perkampungan Orang Asli Lubuk Legong, Mukim Siong di sini mengambil masa kira-kira dua bulan untuk memujuk penduduk kampung itu menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mengekang penularan Covid-19.
Tok Batin Razali Kulim, 42, berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli di sini tidak mahu menerima suntikan tersebut kerana pelbagai tanggapan negatif diterima mereka.
“Puas saya pujuk kerana rata-ratanya menerima maklumat yang salah mengenai suntikan vaksin yang sedikit sebanyak mempengaruhi mereka.
“Namun, selepas penerangan mengenai keperluan menerima suntikan tersebut dari masa ke semasa, akhirnya seramai 300 penduduk Orang Asli bersetuju menerimanya,” katanya ketika ditemui pada program Covid 19 Mobile Vaccination Siri 2.0 peringkat daerah di Dewan Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong, Mukim Siong di sini.
Seorang penduduk, Biah Senapi, 63, berkata, dia agak takut dan gementar untuk menerima suntikan vaksin ini namun akur apabila dipujuk demi kesihatan dirinya serta keluarga.
“Terus terang saya amat takut untuk disuntik, macam-macam saya fikirkan tentang kesan-kesan negatif yang saya dengar daripada orang ramai yang memperkatakan mengenai vaksin ini.
“Saya kuatkan hati dan beranikan diri untuk divaksinkan demi kesihatan diri dan mengelakkan daripada dijangkiti Covid-19. Lagipun, saya mempunyai penyakit darah tinggi, asma dan lemah jantung,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah memberitahu, kesedaran masyarakat Orang Asli Kensiu semakin tinggi selepas mereka diberi penerangan mengenai keperluan menerima suntikan vaksin. – UTUSAN ONLINE