TERDAHULU, terima kasih diucapkan atas pemberian dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit untuk 2025. Namun, usaha harus digiatkan lagi bagi meningkatkan kadar pemberian dividen untuk tahun-tahun mendatang.
Rata-rata pencarum merindui pemberian dividen 7 hingga 8 peratus seperti yang pernah diberikan sekitar 1990-an. Kenapa susah sangat hendak berikan pemberian dividen lebih tinggi untuk ASB dan lain-lain amanah saham?
Fokus harus diberikan dan usaha harus digiatkan untuk memberi dividen yang lebih tinggi bukannya membenarkan pencarum untuk menambah jumlah caruman sedia ada mereka.
Pada proses pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan bersetuju menaikkan jumlah had maksimum pelaburan individu ASB dan ASB2 kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.
Usaha yang diambil pihak kerajaan ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu rakyat khususnya golongan bumiputra yang berpendapatan rendah untuk melabur disamping mendapat pulangan melalui pemberian dividen yang selamat dan stabil setiap tahun.
Namun, langkah untuk menaikkan had maksimum pelaburan ASB dan ASB2 ini dilihat tidak akan membawa makna kerana rakyat kita tidak memiliki wang yang cukup untuk melabur banyak.
Daripada menaikkan had maksimum pelaburan ASB dan ASB2, adalah penting pihak kerajaaan memberi tumpuan penuh bagi memastikan kadar pemberian dividen untuk ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ditawarkan adalah tinggi setiap tahun.
Pemberian dividen yang tinggi secara konsisten setiap tahun dilihat lebih membawa makna kepada pelabur dalam mengharungi masalah inflasi dan kos sara hidup yang meningkat setiap tahun.
Persoalan yang paling penting, apa gunanya juga jika had maksimum ASB dan ASB2 dinaikkan jika kadar pemberian dividen yang bakal diumumkan kelak terus menurun?
Oleh yang demikian, daripada menaikkan had maksimum pelaburan dalam ASB dan ASB2 ini, lebih baik sekiranya pihak kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan kadar pemberian dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ditawarkan adalah tinggi untuk tahun-tahun yang akan datang.
Kadar pemberian dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ada setiap tahun pun dilihat makin lama makin menurun.
Pihak kerajaan boleh duduk berbincang dengan pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) terhadap langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan kadar pemberian dividen untuk semua unit amanah ini bagi tahun-tahun mendatang lebih tinggi serta memuaskan. Apa yang penting tidak menurun.
Agak sukar untuk pihak-pihak yang berkaitan memastikan pulangan dividen untuk semua unit amanah tinggi serta memuaskan hati semua pelabur.
Namun, rakyat tetap berkeyakinan dengan tahap kemampuan pihak kerajaan serta pengurus unit pelaburan yang berkaitan untuk memastikan pulangan dividen diberikan adalah tinggi serta memuaskan hati walaupun keadaan ekonomi semasa pada ketika ini tidak menggalakkan dan penuh mencabar. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










