PETALING JAYA: Langgar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit dan berhenti di petak kuning antara kesalahan kerap dilakukan segelintir penunggang motosikal perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan (p-hailing) sehingga mereka ini dilabel sebagai `berani mati’.
Ada juga kumpulan itu, menunggang motosikal secara bahaya sehingga merisikokan pengguna jalan raya lain kerana mengejar ‘trip’ dan memastikan pesanan sampai kepada pelanggan mengikut masa.
Itu sebahagian tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi di Lembah Klang sejak hampir sebulan lalu mengenai sikap pemandu p-hailing terutama yang menunggang motosikal dan kini mula menjangkiti p-hailing yang mengayuh basikal.
Mengikut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 250 kemalangan melibatkan penunggang p-hailing direkodkan sejak 2019 hingga April lalu.
Daripada jumlah itu, 38 kes melibatkan kematian, 31 cedera parah manakala 181 lagi cedera ringan.
Turut tular baru-baru ini aksi seorang penunggang p-hailing yang mengeluarkan kata-kata kesat serta menendang cermin sisi sebuah kenderaan akibat tidak berpuas hati dihon selepas tindakannya melanggar cermin sisi kereta tersebut.
Isu ini bukan perkara baharu bahkan orang ramai turut meluahkan pengalaman mereka menjadi mangsa sesetengah penunggang p-hailing yang menunggang motosikal dengan sambil lewa sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengendali operasi atau majikan perlu memastikan penunggang p-hailing mengutamakan aspek keselamatan bagi mengurangkan keberangkalian terlibat dalam kemalangan.
Bagaimanapun, katanya, ini juga berpunca sikap penunggang itu sendiri yang mengabaikan keselamatan bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi kepada pengguna jalan lain.
“Saya pernah nampak beberapa penunggang motosikal p-hailing melanggar lampu isyarat dan menunggang melebihi had laju. Kita faham kadangkala mereka mengejar trip malah perlu mengikut jadual vendor bagi menghantar pesanan bagi memastikan ‘rating’ terjamin.
“Pengendali operasi p-hailing memainkan peranan penting dalam memastikan penunggang mematuhi peraturan jalan raya agar tidak membahayakan diri serta orang lain. Contohnya program kesedaran serta taklimat berkaitan aspek keselamatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, setiap pengendali operasi perlu membuat saringan latar belakang pekerja p-hailing bagi memastikan setiap individu yang mendaftar tidak mempunyai d kesalahan trafik atau jenayah lain.
Menurut beliau, usaha itu harus dilakukan agar pengendali operasi tidak sembrono dalam mengambil pekerja perkhidmatan mereka.
“Ini semua tanggungjawab pengendali operasi. Kebajikan p-hailing juga perlu diberi keutamaan selain memikirkan keuntungan semata-mata,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, perkara ini sudah lama diperdebatkan terutamanya membabitkan p-hailing yang menunggang motosikal untuk mencari rezeki ketika pandemik Covid-19.
Katanya, malah, data-data sebelum ini jelas menunjukkan penunggang motosikal termasuk penunggang motosikal p-hailing antara penyumbang kesalahan jalan raya yang berpunca daripada sikap penunggang itu sendiri.
Bagaimanapun, menurut beliau, antara pendekatan boleh diambil ialah meningkatkan kadar ‘visibility’ atau kebolehnampakan penunggang p-hailing di jalan raya.
“Biasanya, kita hanya takut atau lebih berhati-hati kepada kenderaan lebih besar seperti lori dan trak. Justeru, pengendali operasi perlu menyediakan kotak penyimpanan barang kepada p-hailing yang menggunakan motosikal bagi lebih menarik perhatian orang lain,” katanya.
Pada 9 April lalu, media melaporkan kajian pemerhatian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati 70 peratus penunggang p-hailing menunjukkan tingkah laku berisiko pada waktu puncak.
Kira- kira 57 peratus didapati berhenti di petak kuning, melanggar lampu merah (16 peratus), menggunakan telefon mudah alih ketika menunggang (15 peratus), menunggang lawan arus (tujuh peratus) dan membuat pusingan U secara haram lima peratus. – UTUSAN











