PETALING JAYA: Sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menggalas cabaran besar ke arah memulihkan semula negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Harapan rakyat terhadap era pimpinan Ismail Sabri ialah tiga fokus besar iaitu segera menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan mengembalikan semula kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat.
Dengan jumlah jangkitan kes harian terus melebihi 20,000 kes, semakin ramai yang hilang kerja, hilang sumber pendapatan bermakna Ahli Parlimen Bera itu memerlukan pasukan Kabinet berwibawa bagi bersama-sama beliau mendepani cabaran tersebut.
Pensyarah kanan Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Siti Norayu Mohd Basir berkata, rakyat meletakkan harapan agar beliau segera menangani kemelut yang sedang memberi kesan kepada mereka.
Menurut beliau, perkara itu mempunyai kaitan dengan kebijaksanaan Ismail Sabri untuk memulihkan semula emosi rakyat yang sebelum ini banyak `terganggu’ dengan pelbagai krisis dan di tengah-tengah pandemik.
Justeru, kata beliau, rakyat kini menunggu strategi atau dasar yang bakal dilaksanakan kerajaan Ismail Sabri dalam memulihkan semula negara yang dianggap rakyat sudah `hancur’.
“Beberapa cabaran yang perlu segera ditangani ialah berkaitan kesihatan awam iaitu menggemblengkan usaha dan tenaga bagi mengekang wabak Covid-19 dengan lebih serius dan efisien.
“Dari sudut ekonomi, perlu ada tindakan bersifat telus dan saksama bagi industri besar, IKS (Industri Kecil dan Sederhana) swasta, kerajaan mahupun yang berniaga sendiri,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Selain itu, Siti Norayu berkata, barisan Kabinet yang bakal dipilih juga harus mencerminkan jemaah menteri yang boleh dan akan bekerja untuk rakyat.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali pula, langkah pertama perlu dilakukan Perdana Menteri ke-9 ialah mewujudkan pasukan Kabinet bersaiz kecil tetapi bernafas baharu untuk membuktikan pelantikan beliau tepat dan kena pada masa.
“Jika Ismail Sabri berjaya dalam lantikan Kabinet yang dilihat adil, insya-Allah rakyat akan yakin dengan kepemimpinan beliau walaupun ada segelintir melontarkan cakap-cakap kerajaan pintu belakang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau , Khairy Jamaluddin berkata, Ismail Sabri perlu diberi ruang memimpin negara seterusnya membawa rakyat keluar daripada pandemik menerusi pengukuhan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PPN).
“Ismail Sabri ada pengalaman luas menerajui beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
“Lebih daripada itu, Perdana Menteri baharu ini bertanggungjawab lebih setahun menyelaraskan respons bagi Covid-19,” kata beliau yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Ismail Sabri yang memperoleh 114 sokongan daripada 220 Ahli Parlimen semalam mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan meletak jawatan.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri disempurnakan Ismail Sabri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 2.30 petang.
Pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibuat setelah Seri Paduka dan raja-raja Melayu berpuas hati beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Terdahulu, Ismail Sabri menerusi Facebook menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan Seri Paduka terhadap pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.
Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Rakyat atas sokongan dan kepercayaan diberikan.
Antara komen netizen sejurus pelantikan Ismai Sabri ialah ramai menunggu jemaah Kabinet bakal dinamakan beliau.
Pelbagai pendangan diluahkan termasuk berharap Ismail Sabri tidak goyah dengan terlunjuk mana-mana parti politik. – MINGGUAN










