REMBAU: Seorang pekerja penghantar barang terpaksa menerima hakikat menjadi bapa tunggal kepada tiga anak termasuk bayi baru dilahirkan selepas kematian isteri akibat Covid-19.
Mohamad Syafiq Yacob, 31, berkata, isterinya Norfazzlyana Nezal, 29, juga terpaksa melahirkan anak ketiga mereka secara pembedahan pada usia kandungan 35 minggu.
Sebelum itu, ceritanya, Norfazzlyana, ibu mentuanya, Ramlah Omar, 62, dan anak kedua mereka, Sumayyah Saffiyah yang berusia 15 bulan disahkan postif Covid-19 pada 1 Ogos lalu.
“Pada mulanya mereka pergi ke Klinik Kesihatan Gadong untuk tukar gelang namun apabila jururawat membuat pemeriksaan kandungan oksigen ibu mentua dan isteri rendah.
“Selepas dua hari ditidurkan, petugas kesihatan terapksa melakukan pembedahan menyelamatkan bayi dalam kandungan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Masjid Dr. Haji Mohammad Eusuff Teh di sini semalam.
Kata Syafiq, selepas melahirkan anak, isterinya itu tersedar dan kami sempat membuat panggilan video.
“Kali pertama sedar isteri dalam keadaan lemah mungkin disebabkan ubat tidur, namun, boleh memberikan isyarat.
“Panggilan kedua, isteri nampak bertenaga, cuma, masa tu doktor kata isteri seperti tidak cukup nafas,” katanya..
Menurutnya, semasa panggiilan video tersebut, isterinya seperti mahu memberitahu sesuatu mungkin mahu melihat wajah anak ketiga kami.
Bagaimanapun, katanya, anak bongsu kami yang dinamakan, Ummu Ufairah, dijaga adiknya ketika itu menyebabkan dia tidak dapat menunjukkan kepada arwah.
Kata Syafiq, selepas hari itu isterinya itu sekali lagi terpaksa ditidurkan dan kali terakhir mereka dapat membuat panggilan video pada malam kelmarin.
“Memang nampak isteri sudah nazak, dengan bantuan doktor, saya bisik di teliganya, saya panggil nama penuhnya dan saya cakap saya akan kuat demi anak-anak, tiba-tiba air mata isteri mengalir seolah-olah dia faham.
“Dia kemudian disahkan meninggal dunia pukul 3.30 pagi di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban,” katanya yang hanya mengingati arwah isteri terpaksa ditidurkan hampir dua minggu.
Anak sulung pasangan itu, Khalish Khairuddin, 5.
Menurutnya, ujian calitan pada jenazah isteri mendapati dia negatif Covid-19 menyebabkan jenazah dapat diuruskan serta dikebumikan oleh ahli keluarga dengan bantuan sukarelawan.
Jenazah Norfazzlyana dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Ibor, Pedas kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Mohamad Syafiq berkata, ibu mentuanya meninggal dunia di hospital sama pada 6 Ogos lalu manakala anak keduanya dan kakak iparnya yang juga disahkan positif Covid-19 sudah sihat.- UTUSAN