Agong: Berhijrahlah dalam menghadapi pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Agong: Berhijrahlah dalam menghadapi pandemik Covid-19

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan hijrah dalam menghadapi pandemik Covid-19 bersempena sambutan tahun baharu Hijrah 1443H.

Seri Paduka bertitah, seluruh rakyat diseru bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik ini.

Seri Paduka berkeyakinan, negara pasti berjaya keluar daripada apa juga kemelut yang melanda jika semua terus berpadu tenaga dan mengamalkan sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW.

“Peristiwa hijrah memberi panduan jelas kepada kita tentang erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam lipatan sejarah.

“Bersempena dengan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Manhaj Rabbani Umat Berkualiti’, beta menyeru kepada seluruh rakyat bangkitlah bersama-sama beta untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara dicintai ini,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian secara maya ketika berkenan merasmikan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Seri Paduka bertitah, Nabi Muhammad SAW merupakan sebaik-baik suri teladan untuk diteladani dan diikuti seluruh rakyat Malaysia.

Titah Al-Sultan Abdullah, memahami hijrah dalam konteks negara pada hari ini menuntut seluruh umat Islam dan rakyat meneladani sifat-sifat mulia Nabi Muhammad SAW seperti bersifat benar dalam semua perkataan dan perbuatan, bersifat jujur dan dipercayai dan juga bijaksana dalam menyampaikan dakwah.

“Hijrah dan pembinaan negara saling berkait rapat antara satu dengan lain. Sesungguhnya menghayati hijrah bukan sahaja berupaya membentuk akhlak yang mulia, malahan ia turut berupaya dijadikan asas pembentukan sebuah negara.

“Pada hemat beta, pemerintahan dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW adalah merupakan contoh terbaik untuk diikuti sekalian manusia,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, sirah Nabi Muhammad SAW jelas membuktikan baginda sebagai seorang pemimpin beretika tinggi dengan akhlak mulia merangkumi sifat-sifat integriti, kejujuran dan amanah yang mana sifat-sifat itu begitu sebati dalam diri baginda sehingga baginda diberi gelaran ‘al-amin’.

Al-Sultan Abdullah seterusnya menegaskan, dalam aspek pentadbiran dan pembuatan keputusan, Rasulullah sentiasa membuka ruang seluas-luasnya untuk bermesyuarat, berbincang dan mendengar pandangan dalam setiap perkara berkaitan dengan kebajikan dan kemaslahatan ummah.

“Sifat diri Nabi Muhammad SAW turut meliputi sifat tawaduk dan sentiasa mengagungkan kehebatan Allah, menjadikan baginda seorang pemimpin yang tidak terpengaruh dengan sifat tamak yang boleh mengundang gejala rasuah, tipu muslihat dan sifat mementing diri sendiri dengan kebesaran dunia seperti pangkat, harta dan kedudukan,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan pada majlis sambutan Maal Hijrah berkata, peristiwa Hijrah wajar dijiwai semua yang bukan sekadar mengenang perpindahan Nabi Muhammad SAW secara fizikal, dengan meninggalkan harta dan kediaman semata-mata.

Beliau berkata, saban tahun, peristiwa Hijrah memperteguh tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ajaran Nabi SAW melakukan perubahan sikap dan tindakan kepada sifat-sifat mahmudah dan lebih baik sebagaimana dianjurkan baginda.

“Saya doakan dengan kedatangan tahun baharu Islam ini, Allah SWT mengurniakan ke atas kita semua khususnya umat Islam keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar kita menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dilaksanakan pihak kerajaan.

“Saya juga berdoa agar ujian ini berupaya menjadikan kita umat Islam lebih bertakwa dan mempunyai ketahanan jiwa serta asertif diri yang padu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, majlis sambutan Maal Hijrah adalah cerminan iltizam kerajaan agar syiar Islam terus terpelihara dan dimartabatkan sejajar dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan yang dijunjung tinggi.

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap agar seluruh umat Islam dan rakyat bersama-sama menghayati tema sambutan pada tahun ini iaitu “Manhaj Rabbani Umat Berkualiti”.

Muhyiddin turut menyeru semua rakyat khususnya umat Islam memperbetulkan niat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan amalan dalam kehidupan seharian.

“Ini bersesuaian dengan semangat Hijrah dan mencapai hasrat Ummah Berkualiti yang menjadi matlamat kita semua, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN