PUTRAJAYA: Seorang wanita warga Indonesia yang diperdaya ejen dan menjadi buruh paksa sejak 2017, berjaya diselamatkan pihak berkuasa di Taiping, Perak pada Jumaat lalu.
Kementerian Sumber Manusia berkata, ia susulan aduan dan maklumat kes yang diterima daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur dua hari sebelum itu.
“Hasil risikan yang dibuat selama dua hari bermula 7 Julai lalu, kemudian membawa kepada operasi menyelamat mangsa itu pada 9 Julai,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Usaha itu diketuai Ibu pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dari cawangan Perak dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Majlis Antipemerdagangan Orang, Kementerian Dalam Negeri.
Kenyataan itu menambah, operasi menyelamat pendatang asing tanpa izin (PATI) ini yang turut dibantu pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, dilancarkan pada 6.30 pagi hari tersebut.
Mangsa berumur 36 tahun itu dibawa masuk ke negara ini oleh seorang ejen yang kononnya memaklumkan dia bakal bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji dijanjikan RM1,000.
Wanita itu diarahkan membayar sebanyak tiga bulan gajinya sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen tersebut selepas mendapat pekerjaan bermula pada Disember 2017.
“Bayaran ini telah selesai diserah kepada ejen melalui potongan gaji bulanan, namun majikan dikatakan mengambil kesempatan dengan memanipulasi pekerja itu,” jelas kementerian.
Pihak majikan menjadikan isu status PATI dan ketiadaan permit kerja sah sebagai ugutan bagi memaksa mangsa itu melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental.
Kementerian itu menambah, dia juga pernah dipukul oleh majikan berkenaan dengan tangan apabila tidak berpuas hati dengan hasil kerja yang sudah dilakukan oleh mangsa tersebut.
“Selain itu, mangsa turut tidak diberikan makanan sekiranya dia menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal atau meluahkan niat tidak mahu lagi bekerja dengan majikan terbabit.
“Malah, mangsa mengadu gaji kerap dibayar lewat dan pernah terjadi situasi upah pekerja ini yang telah diserahkan ke tangan mangsa kemudian diambil semula oleh majikan tersebut.
“Melalui siasatan awal, ada unsur indikator buruh paksa dilakukan ke atas mangsa dan dia yang diselamatkan juga masih berada dalam keadaan trauma,” tegasnya.
Menurut kenyataan itu, majikan terbabit pula disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan kertas siasatan kes tersebut dikendalikan oleh pihak JTK.
Katanya. mangsa ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan Perintah Perlindungan Interim oleh Mahkamah Majistret Taiping pada hari dia diselamatkan.
“Arahan tersebut sah untuk tempoh selama 21 hari sehingga 30 Julai ini bagi melengkapkan siasatan sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk semakan dan keputusan.
“Operasi ini jelas membuktikan usaha bersepadu berterusan oleh pelbagai agensi dalam menangani isu buruh paksa dan ketegasan kerajaan tidak berkompromi,” kata kenyataan itu. – UTUSAN









