PONTIAN: Lebih separuh daripada usianya terlibat dengan menanam, menjaga kebun dan menjual buah durian yang menjadikan Loh Tin, 65, sangat memahami selok-belok perniagaan raja buah itu yang mendapat permintaan tinggi setiap kali tiba musimnya.
Apatah lagi, sejak tamat persekolahan pada usia 17 tahun, warga emas yang mesra disapa Uncle Loh itu membantu bapanya menjual durian.
Di luar musim raja buah itu pula, dia menguruskan kebun tersebut agar dapat menjamin kualiti pengeluaran buah.
Bagaimanapun, sepanjang penglibatannya dalam perniagaan berkenaan, tahun ini dirasakan sangat sedih kerana bukan sahaja jualannya tidak memberangsangkan tetapi pelanggannya dari serata tempat termasuk Singapura tidak dapat ke gerainya.
“Saya sedih kerana orang ramai tidak bebas datang membeli durian bukan sahaja di gerai saya tetapi peniaga-peniaga lain berikutan larangan merentas daerah dan negeri serta pintu sempadan Malaysia-Singapura masih ditutup.
“Warga Singapura sangat gemar durian kampung yang tidak menggunakan baja kimia berbanding durian lain, sebab itu mereka sanggup datang setiap tahun sehingga ke kebun semata-mata untuk merasai keenakan durian jenis itu.
“Tetapi tahun ini dan tahun lalu mereka tidak dapat datang lagi hingga menyebabkan jualan saya pun sedikit terjejas kerana perlu bergantung kepada pembeli setempat sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Loh Tin berkata, kebiasaannya pelanggan dari negara jiran itu membeli buah durian sehingga 300 kilogram sama ada untuk dimakan di situ dan dibawa balik kepada keluarga serta saudara mara lain.
Menurutnya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga, peraih durian dari luar seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura tidak dapat turun ke dusunnya seperti mana sebelum-sebelum ini.
Dia yang memiliki kebun durian seluas enam ekar di Kampung Parit Archong dan Kampung Permatang Duku, di sini turut terkesan apabila pengeluaran buah durian kampung di kebunnya juga tidak menjadi kali ini apabila hanya kira-kira 5,000 biji sahaja berbanding 10,000 biji. – UTUSAN ONLINE










