Tangguh longgar SOP buat penerima vaksin lengkap - Utusan Malaysia

Tangguh longgar SOP buat penerima vaksin lengkap

Kerajaan diminta menangguhkan memberi kelonggaran SOP buat penerima lengkap vaksin bagi mengelakkan penularan wabak berterusan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) buat penerima dua dos vaksin Covid-19 perlu ditangguhkan sehingga 50 peratus daripada penduduk negara ini berjaya melengkapkan suntikan tersebut.

Ini kerana dengan jangkitan harian masih melebihi lima angka dan ditambah dengan kemunculan varian-varian bahaya terutama Delta, langkah memberi keistimewaan buat rakyat yang sudah lengkap divaksin belum masa.

Kerajaan perlu menilai secara menyeluruh dan tidak hanya untuk `menggembirakan’ kumpulan yang lengkap divaksinasi kerana padahnya akan `dirasai’ semua rakyat.

Pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Yahya Mat Arip berkata, melihat perkembangan wabak ketika ini, kerajaan masih perlu memberi fokus mempercepatkan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 dan melakukan pengesanan virus bagi menyekat penularan.

Prof Madya Dr. Yahya Mat Arip

Menurut beliau, kerajaan juga perlu melihat sistem perubatan yang masih terbeban dengan jumlah pesakit yang ramai dengan memikirkan langkah-langkah memastikan kebajikan pesakit tidak terabai atau menyembuhkan kumpulan tersebut terlebih dahulu.

“Masih ramai belum menerima vaksin termasuk golongan yang tidak boleh divaksin seperti kanak-kanak bawah 12 tahun. Perlu diingat juga vaksin tidak menghalang jangkitan dan ia hanya mengurangkan kesan kepada individu yang dijangkiti tidak menjadi teruk.

“Walaupun mereka lengkap dua dos vaksin, mereka ini masih boleh menyebarkan kepada orang lain. Kita tidak mahu individu yang menerima dos lengkap akhirnya menjadi punca penularan kepada mereka yang tidak menerima vaksin,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengumumkan kelonggaran buat rakyat yang lengkap menerima dua dos vaksin selepas Hari Raya Aidiladha.

Antara kelonggaran yang dibayangkan Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan ialah kebenaran rentas negeri dan makan di restoran.

Semalam, negara merekodkan 11,985 kes lagi dan Malaysia kini menghampiri kumulatif sejuta penduduk dijangkiti apabila kes semalam meningkat kepada 951, 884 kes.

Setakat 20 Julai juga, jumlah pemberian vaksin ialah 15,071,814 dos. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,301,905 individu telah menerima dos pertama manakala sebanyak 4,769,909 telah melengkapkan dua dos suntikan Covid-19.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kit ujian kendiri, Dr. Yahya berkata, kit tersebut juga bukan syarat kerajaan boleh melonggarkan SOP kerana keputusan yang diperolehi dalam tempoh singkat tidak semestinya tepat.

“Kita perlu berhati-hati dengan keputusan ‘false negative’. Disebabkan tiada pemantauan ada individu yang mungkin tidak ikut prosedur buat ujian seterusnya memberi keputusan tidak tepat kepada pihak berkuasa untuk mendapat keistimewaan SOP,” jelas beliau.

Sementara itu, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar yang berpandangaan sama berkata, SOP wajib dijadikan ‘kunci’ bagi memerangi penularan wabak.

Menurut beliau, SOP yang sedang diamalkan tidak patut dilonggarkan buat sesiapa sahaja sebaliknya perlu terus diperketatkan dari semasa ke semasa sehingga jangkitan sifar.

“Masyarakat perlu diberi panduan bagaimana kategori yang sudah lengkap vaksin ini perlu mengelakkan mereka menjadi punca penyebaran virus dalam komuniti,” kata beliau

“Namun sekiranya tiba tempoh pandemik sudah selamat, kerajaan boleh menggalakkan penggunaan kit ujian kendiri bagi memastikan pandemik tidak merebak lagi,” jelasnya.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail pula berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati sebagaimana negara lain termasuk Eropah lebih-lebih lagi ketika kemunculan varian Delta dan bukannya terus menawarkan kelonggaran buat rakyat yang sudah lengkap vaksin.

Menurut beliau, kelonggaran SOP sepatutnya dicuba dengan membenarkan sektor-sektor tertentu terlebih dahulu sebelum memberi kelonggaran kepada sektor-sektor lebih besar dan termasuk rakyat.

“Selalu kena ingat bahawa risiko terkena jangkitan tetap ada walaupun seseorang itu telah lengkap dua dos.

“ Apabila divaksin seseorang itu tidak semestinya kebal.Cuma ia boleh mengurangkan kesan daripada pesakit kategori lima mungkin turun kepada kategori dua,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata Ahmad Shukri, risiko kepada komuniti tetap ada lebih-lebih lagi kepada individu yang belum divaksin atau tidak boleh menerima vaksin.

“Jadi dalam tempoh sekarang, rasanya sangat tidak sesuai jika kerajaan memberi memberi kelonggaran buat kumpulan lengkap vaksin `bebas’ tetapi menganaktirikan pula kumpulan yang belum divaksin atau tidak boleh divaksin,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN