Syukur dapat tunai haji sebelum pulang ke Malaysia - Utusan Malaysia

Syukur dapat tunai haji sebelum pulang ke Malaysia

NUR FITRI Yusoff dan Muhammad Dawud Al-Hawariy Hamizan di hadapan Kaabah semasa menunaikan umrah di Mekah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hasrat seorang wanita warga Malaysia yang menetap di Madinah untuk menunaikan haji sebelum kembali ke tanah air tahun ini termakbul selepas permohonannya menunaikan ibadat berkenaan diluluskan kerajaan Arab Saudi.

Nur Fitri Yusoff, 25, isteri kepada seorang pelajar di Universiti Madinah, Muhammad Dawud Al-Hawariy Hamizan, 28, bakal mengerjakan ibadat haji bersama sekumpulan jemaah wanita yang juga menetap di Madinah.

“Syukur, ini pertama kali saya direzekikan menjadi tetamu Allah SWT.

“Memandangkan ini tahun terakhir menetap di Arab Saudi, pastinya saya berharap menjadi tetamu Allah. Alhamdulillah, Allah menjemput saya untuk kali ini, semoga dipermudahkan segalanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ibu kepada seorang cahaya mata, Syifa’ Nuwairah, berusia setahun enam bulan itu juga bersyukur kerana Kementerian Haji Arab Saudi tahun ini membenarkan wanita menunaikan haji tanpa mahram.

“Saya memilih pergi bersama sekumpulan wanita, jadi saya akan pergi ke Mekah bersama isteri-isteri pelajar ain yang tidak pernah menunaikan haji.

“Pada musim ini juga, kebanyakan jururawat Malaysia yang berkhidmat di sini diluluskan permohonan untuk menunaikan haji, difahamkan jumlah jemaah Malaysia di Madinah adalah kira-kira 30 orang,” katanya.

Dia yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, proses permohonan bagi menunaikan haji kali ini juga lebih mudah berbanding tahun lalu kerana kuota yang diperuntukan lebih banyak berbanding tahun lepas.

”Bermula pada 26 Jun lalu, Kementerian Haji Arab Saudi telah mengumumkan sesiapa yang layak untuk menunaikan haji kali ini secara berperingkat berdasarkan keutamaan yang mereka iklankan.

“Kementerian Haji juga memberikan masa selama tiga jam untuk jemaah membuat pembayaran selepas memilih pakej, yang mana terdapat tiga pakej diberikan dan pakej yang paling murah adalah kira-kira RM15,400,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, terdapat ramai sukarelawan menawarkan untuk menjalankan kursus haji termasuk Konsulat Malaysia di Jeddah kepada bakal jemaah.

“Dalam tempoh seminggu lagi kami akan ke Mekah dan melaksanakan ibadat haji.

“Anak perempuan saya akan dijaga oleh suami sepanjang saya menunaikan ibadah haji dan kami memohon agar semua pihak mendoakan agar kami mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi menerima kira-kira 558,000 permohonan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Hanya 60,000 jemaah dibenarkan menunaikan haji terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing yang menetap di negara itu.

Ibadah haji kali ini adalah yang kedua dilaksanakan di bawah protokol Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×