SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau memainkan peranan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan kesan terhadap pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, kesan tersebut termasuklah tentang kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saman sivil yang masih berjalan serta impak terhadap keyakinan rakyat serta pandangan antarabangsa.
Menurutnya, beliau tidak menolak setiap banduan berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan seperti mana ditegaskannya ketika Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Sekarang, itu digunakan kononnya bekas-bekas teman kita dahulu. Kalau hendak menang undi pun bukan kata begitu.
“Dia kata sayalah orang yang membuka jalan, tak betul. Yang saya sebut, setiap banduan berhak mengemukakan dan saya tetap pertahankan hak itu, sesiapa pun termasuk Datuk Seri Najib ada hak mengemukakan rayuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-tea Sekretariat Reunion Reformis di sini, hari ini.
Jelas Anwar, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong turut mendapat nasihat daripada Peguam Negara selain Perdana Menteri.
“Tetapi, muktamadnya keputusan itu adalah daripada Yang di-Pertuan Agong. Apakah nasihat saya ke arah keputusan itu (tahanan rumah)? Tidak, saya tetap mengingatkan kes yang masih berjalan.
“Saya tegaskan sekali lagi dalam kes pengampunan atau penganugerahan pingat itu adalah wewenang atau bicara raja negeri atau Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Kelmarin, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung pada hari tersebut.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Anwar kemudian menegaskan menegaskan prinsip negara hukum dan komitmen membanteras rasuah tidak akan terjejas susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, keputusan itu tidak bermakna negara perlu tunduk kepada amalan rasuah atau salah guna kuasa yang merugikan rakyat dan negara. – UTUSAN











