Syor tubuh Suruhanjaya Kesihatan atasi masalah petugas kesihatan - Utusan Malaysia

Syor tubuh Suruhanjaya Kesihatan atasi masalah petugas kesihatan

Lee Boon Chye
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu suruhanjaya perkhidmatan peruba­tan dan kesihatan perlu diwujudkan supaya perjawatan petugas kesihatan lebih meluas de­ngan pengambilan mereka tidak lagi di bawah Suru­hanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Buat masa ini, pengambilan petugas kesihatan tertakluk di bawah kedua-dua agensi itu, se­­kali gus menyebabkan ruang mereka terhad dan tertakluk dengan kuota perjawatan per­khidmatan awam.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, bekas Timbalan Men­teri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, cadangan itu pernah dibangkitkan sewaktu peme­rintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun perlu dila­kukan pindaan undang-un­dang mem­babitkan perjawatan skim perkhidmatan perubatan dan kesihatan untuk dilaksanakan.

Sekiranya terlaksana, pera­nan suruhanjaya itu menyamai Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) apabila bidang kuasa perjawatan tidak lagi di bawah SPA, sekali gus mempunyai ruang lebih luas dalam pengambilan petugas kesihatan.

Sehingga hujung tahun 2020, Kementerian Kesihatan mempunyai 267,578 kakita­ngan keseluruhan termasuk 35,216 kakitangan kontrak melibatkan 23,077 pegawai perubatan gred UD41, 5,000 pegawai pergigian gred UDG41 dan 7,139 pegawai farmasi gred UF41.

Kata Boon Chye, pengambilan petugas kesihatan tidak boleh dilihat sama seperti perjawatan kakitangan awam lain sekali gus menyebabkan pelantikan terhad sedangkan tugas mereka kian bertambah, khususnya di saat penularan pandemik Covid-19.

“Perjawatan perkhidmatan perubatan dan kesihatan perlu melihat kepada keperluan terdesak. Jika hospital dan klinik bertambah maka petugas perlu ditambah, bukannya dibeku. Jika ini berlaku, sampai bila bebanan doktor tidak pernah selesai.

“Jika skop perjawatan perkhidmatan perubatan dan kesihatan dibuka meluas, secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah status doktor kontrak seperti dihadapi ketika ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas nasib 23,000 doktor kontrak termasuk pelbagai persoalan antaranya siapa perlu bertanggungjawab untuk melantik dan menyerapkan mereka sebagai kakitangan kerajaan berstatus tetap selepas semua menuding jari sehingga tiada kata putus mengenainya.

Sebelum ini, doktor-doktor kontrak di seluruh negara berhasrat mengadakan mogok pada 26 Julai ini bagi memastikan suara mereka didengar dan nasib terus dibela kerajaan.

Dalam pada itu, Boon Chye yang juga ahli Parlimen Gopeng berkata, mesyuarat Jemaah Kabinet pada November 2019 (ketika kerajaan Pakatan Harapan) bersetuju agar gred doktor-doktor kontrak iaitu UD41 ditambah baik kepada gred UD43.

“Namun pelaksanaan ini dikatakan telah ditangguhkan. Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah semak semula keputusan ini,” soal beliau.

Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia terhadap petisyen SafeourcontractHCW menerusi laman sesawang www.change.org mendapati, lebih 96,665 orang menandatangani petisyen bagi mendesak kerajaan melakukan penyelesaian segera terhadap status 23,000 doktor kontrak supaya nasib mereka terbela dan diserapkan sebagai pegawai perubatan tetap.

Petisyen yang diwujudkan kelmarin itu menyasarkan 150,000 tandatangan dan sudah lebih separuh rakyat yang bersimpati dengan nasib mereka menandatanganinya.

Petisyen diwujudkan me­nerusi laman sesawang www.change.org bertajuk SafeourcontractHCW itu bermula apabila seorang individu bernama Rashidah tampil menggerakkan kempen tersebut agar kerajaan segera menyelesaikan masalah yang berlaku meskipun kerajaan bertukar silih ganti.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan, isu pelantikan pegawai perubatan kontrak tidak dibincangkan dalam Jemaaah Menteri semalam memandangkan mesyuarat Ka­binet dibatalkan kerana Perda­na Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimasukkan ke hospital atas sebab kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×