ISKANDAR PUTERI: Bahan kimia yang memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran kelmarin dipercayai dilakukan secara sengaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan pemeriksaan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri di lokasi kejadian.
“Hasil pemantauan mendapati tidak ada tangki intermediate bulk container (IBC) yang berjumlah 116 unit berisi bahan kimia berasaskan alkali dan asid di stor terbabit pecah dan tumpahan bahan itu berkemungkinan disebabkan telah dibuang dengan sengaja oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Penelitian itu berdasarkan kepada analisis sebaran dan aliran bahan kimia di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dalam kejadian di Kampung Baru, Sengkang di Kulai itu, bomba mendapati berlakunya tumpahan bahan kimia di sungai berkenaan sehingga menyebabkan beberapa penduduk setempat mengalami gejala mual, muntah dan pening kepala.
Sementara itu, tambah Vidyananthan, tumpahan cecair tersebut adalah berwarna kehitaman dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan.
Menurut beliau, JAS Johor juga telah mengenal pasti pemilik tanah dan penyewa kepada tapak tersebut selain satu arahan sudah dikeluarkan kepada mereka untuk melakukan kerja-kerja tebatan aliran alur air dan pembersihan di premis itu.
“JAS Johor dengan bantuan beberapa agensi lain telah memantau sungai yang tercemar selain melakukan langkah pengawalan menggunakan ‘oil boom’, ‘adsorbent pad’ dan ‘dispersant’ jenis ‘Zeolite’ supaya aliran bahan kimia dapat dikawal.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127),” ujarnya. – UTUSAN










