LANGKAWI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dijadual selewat-lewatnya pada minggu kedua September ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, notis sidang DUN itu hanya boleh dikeluarkan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos.
Menurutnya, tarikh persidangan itu akan dimaklumkan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Paling awal boleh diadakan pada minggu pertama September, namun kerajaan negeri lebih selesa pada minggu kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Muhammad Sanusi menambah, pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu bagi menyediakan jawapan bagi soalan lisan atau bertulis yang akan dikemuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Namun, saya serahkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang bertanggung jawab dalam urusan pentadbiran bagi menetapkan tarikh paling cepat,” ujarnya.
Persidangan DUN Kedah kali terakhir diadakan pada 15 hingga 19 November 2020, ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021. – UTUSAN










