CAMERON HIGHLANDS: Aktiviti melancong ke Cameron Highlands tidak sekadar untuk menikmati cuaca sejuk tetapi bagi segelintir pengunjung menggunakan kesempatan untuk menikmati durian terutama musang king.
Perkara itu diakui peniaga durian Brinchang, Heng Lai Lok, 45, apabila jualan durian musang king meningkat semasa musim cuti sekolah berikutan pertambahan kunjungan pelancong termasuk luar negara yang menggemari raja buah tersebut.
“Jualan ketika ini laris kerana pelancong ramai. Kalau hari biasa boleh jual 300 kilogram dan musim cuti sekolah meningkat sehingga 500 hingga 700 kilogram sehari.
“Menikmati durian dalam cuaca sejuk di Cameron Highlands pasti lebih istimewa kerana durian boleh memanaskan badan,” katanya.
Jelasnya, dia menjual musang king pada harga berpatutan iaitu tiga biji RM100 dan kalau ada pelanggan yang meminta jualan kilogram, dia menjual pada harga RM58 sekilogram berbanding RM78 sekilogram sebelum ini.
Sementara itu, pengunjung Ahmad Shahari Amim, 57, berkata, dia bersama keluarga datang sini sejak Rabu lalu atas urusan kerja dan mengambil peluang singgah ke pekan Brinchang bagi merasai sendiri keenakan raja buah durian, Musang King yang berbeza dengan tempat lain kerana lebih sedap.
“Saya memang peminat durian terutamanya jenis musang king. Durian dari Pahang mempunyai kelas tersendiri, rasanya enak, lebih berlemak dan wangi membuat ingin datang lagi.
“Patutlah ramai yang sanggup datang dari jauh ke sini semata-mata mahu menikmati sendiri durian musang king dari negeri ini, harganya pun tidak terlalu mahal,” katanya.
Bagi Fairus Ridwan, 47, dari Gua Musang, Kelantan, setiap kali musim cuti sekolah, dia akan membawa anak-anaknya ke Cameron Highlands juga untuk menikmati durian Pahang.
“Buah durian musang king di sini asli, yang asli, sedap dan tiada tandingan. Sebab itu saya teruja kerana dapat datang semula ke sini selepas tujuh tahun tidak berpeluang melancong di Cameron Highlands akibat pandemik Covid-19.
“Sebelum ni saya hanya dengar cakap-cakap dan lihat di laman sosial sahaja cerita mengenai keistimewaan durian musang king yang dijual di Cameron Highlands tapi setelah rasa sendiri, barulah saya tahu keenakkan musang king dari Pahang,” katanya.-UTUSAN










