LANGKAWI: Pulau Langkawi terus menjadi tumpuan utama pelancong tempatan apabila beberapa lokasi ikonik di pulau peranginan itu dipenuhi orang ramai sempena cuti sekolah sekali gus mencerminkan kebangkitan berterusan industri pelancongan negara.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan tumpuan seperti Makam Mahsuri, Beras Terbakar, Pantai Cenang, Dataran Lang, Kompleks Geopark Kilim, Underwater World Langkawi serta SkyCab Langkawi mengalami peningkatan kehadiran pengunjung sejak awal cuti terutama membabitkan keluarga yang membawa anak-anak bercuti.
Suasana Pantai Cenang misalnya menggambarkan kemeriahan luar biasa apabila hamparan pantai dipenuhi pelancong sementara peniaga dan pengusaha aktiviti pelancongan tidak menang tangan melayan pelanggan.
Keadaan trafik di sekitar kawasan itu juga dilaporkan perlahan pada waktu puncak, namun ia tidak mematahkan semangat pengunjung menikmati percutian.
Seorang pelancong dari Shah Alam, Nor Azlina Mohamad, 38, berkata, Langkawi kekal menjadi destinasi pilihan keluarganya setiap kali cuti sekolah kerana tarikan pelancongan yang pelbagai dan sesuai untuk semua peringkat umur.
“Anak-anak sangat teruja kerana banyak aktiviti boleh dibuat. Bagi kami, kehadiran ramai pelancong ini tanda Langkawi sentiasa relevan dan menjadi pilihan rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi Muhammad Afiq Roslan, 29, pelancong dari Johor Bahru menyifatkan kemeriahan luar biasa itu sebagai petanda positif kepada pemulihan ekonomi tempatan terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami sudah jangka kesesakan di Pantai Cenang tetapi pengurusan di kebanyakan lokasi agak teratur. Suasana meriah ini memberi pengalaman berbeza dan menunjukkan sektor pelancongan kembali rancak,” katanya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, kadar penginapan hotel di Langkawi melebihi 90 peratus sempena musim cuti sekolah dan perayaan Krismas serta tahun baharu.
Katanya, ketibaan pelancong bulan ini dijangka membantu memastikan sasaran 3.5 juta pelancong ke Langkawi tahun ini tercapai memandangkan setakat 30 November lalu, Langkawi sudah mencatatkan 2.75 juta ketibaan pelancong.
“Kita sasar 400,000 pelancong berkunjung ke pulau ini sepanjang Disember ini, dan unjuran itu realistik kerana Disember musim kemuncak percutian selain program menawarkan diskaun sehingga 70 peratus.
Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), Ir. Abu Hashim Abdul Rahman berkata, Langkawi SkyCab mencatatkan pencapaian bersejarah apabila berjaya merekodkan kehadiran pengunjung yang ke sejuta, Jumaat lalu.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan berterusan pelancong tempatan dan antarabangsa terhadap pengalaman unik yang ditawarkan Langkawi SkyCab.
“Kejayaan itu bukan sahaja melambangkan pertumbuhan positif sektor pelancongan Langkawi, malah menyokong agenda pembangunan ekonomi setempat melalui penciptaan peluang kerja serta peningkatan aktiviti pelancongan mampan,” katanya.-UTUSAN










