Selangor negeri pertama laksana vaksinasi di kawasan  PKPD - Utusan Malaysia

Selangor negeri pertama laksana vaksinasi di kawasan  PKPD

AMIRUDIN (tiga dari kiri) sedang melakukan pemeriksaan terhadap petugas kesihatan di Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor hari ini. - Gambar ihsan Pejabat Menteri Besar Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor menjadi negeri pertama menjalankan program vaksinasi terhadap penduduk yang tinggal di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), iaitu di Mentari Court, PJS 8, Petaling Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program tersebut yang bermula awal pagi ini membabitkan lebih 1,000 penghuni di dua blok perumahan itu.

“Ini adalah langkah julung kali diadakan dalam kawasan PKPD di negara ini. 

“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat diputuskan sekali gus mengelakkan keperluan melaksanakan PKPD sekali lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan PKPD di Mentari Court bersama dua lokaliti lain di Petaling Jaya, bermula 1 hingga 14 Julai ini.

Langkah itu berikutan jumlah kes jangkitan Covid-19 melibatkan penghuni apartmen berkenaan  meningkat dengan cepat dalam tempoh beberapa hari.

Sementara itu, Amirudin  turut memaklumkan kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas kesemua penghuni di situ, yang dianggarkan berjumlah 17,000 orang. 

Setakat ini, menurutnya, seramai 9,007 orang disaring, dengan jumlah keseluruhan unit rumah  3,469 unit. 

“Kita telah menyediakan bakul makanan serta mengagihkan makanan melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Selain itu, beberapa kemudahan lain seperti Klinik Bergerak (Mobile Clinic) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di bawah kendalian Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling turut disediakan untuk kegunaan penduduk di sini,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya