Polis sita RM1.6 bilion aset aktiviti haram - Utusan Malaysia

Polis sita RM1.6 bilion aset aktiviti haram

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti pengubahan wang haram dengan aset yang disita bernilai RM1.68 bilion dalam tempoh lima tahun ini menunjukkan keseriusan jenayah berkenaan di negara ini selain dikhuatiri masih banyak lagi aset-aset daripada aktiviti sama belum dapat dikesan.

Ini kerana wang haram dalam jumlah banyak tersebut mampu memberikan kuasa ekonomi kepada penjenayah untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam sosial dan perniagaan dengan membeli saham dan hartanah dalam syarikat-syarikat sah.

Melihat senario memudaratkan negara, Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, bergerak lebih agresif dengan menyita kira-kira RM1.6 bilion aset milik individu serta syarikat yang terlibat dalam pelbagai kes jenayah sejak 2017 hingga Mei lalu.

Dalam tempoh sama, menurut beliau, sebanyak 122,811,144 unit saham lagi dibekukan manakala 72,344,185 unit saham disita sepanjang proses siasatan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJK, Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, jumlah pembekuan dan penyitaan itu melibatkan pelbagai aset termasuk wang tunai, akaun bank, kenderaan, barang kemas dan hartanah.

Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak 629 kertas siasatan dibuka iaitu 110 kes (2017), 127 kes (2018), 136 kes (2019), 164 kes (2020) dan 90 kes pada Januari hingga Mei lalu.

“Jumlah itu melibatkan pelbagai kes di jabatan-jabatan di bawah PDRM. Sebanyak 464 kes disiasat oleh JSJK diikuti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan 145 kes selain Cawangan Khas (enam kes), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (dua kes) dan 12 kes dari lain-lain jabatan.

“Antara kes-kes yang disiasat membabitkan penipuan Macau Scam serta kes-kes ‘public interest’ seperti 1Malaysian Development Berhad (1MDB) pada 2018,” beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Kamaruddin, jenayah tersebut (pengubahan wang haram) perlu dibendung kerana mampu memberikan impak negatif terhadap ekonomi negara.

“Jika dibiarkan, tidak mustahil akan menyebabkan banyak perusahaan berteraskan jenayah berkembang di pasaran domestik dan secara tidak langsung menyebabkan pelabur asing hilang kepercayaan terhadap ekonomi kita.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada wang ‘haram’ yang dilaburkan dalam syarikat- syarikat sah dengan membeli hartanah atau saham demi menghalalkan duit tersebut,” ujar beliau.

Mohd. Kamaruddin berkata, dalam tempoh tersebut seramai 91 orang ditangkap terdiri daripada 69 lelaki dan 22 wanita dan 846 membabitkan 846 pertuduhan.

Kata beliau, pihaknya memulakan siasatan apabila mendapati wujudnya terdapat aliran tunai tidak sah atau elemen pengubahan wang haram dalam kes yang disiasat.

“Kita akan menilai jika ada keperluan kertas siasatan dibuka. Bagaimanapun, kekuatan AMLA hanya di peringkat Bukit Aman. Jadi, kita akan pastikan kes yang diambil memberi impak kepada masyarakat,” kata beliau

Mengulas lanjut, Mohd. Kamaruddin berkata, fokus AMLA adalah untuk membuktikan kesalahan pengubahan wang haram yang berlaku daripada aktiviti jenayah berat dan hasil-hasil yang diperolehi daripada kesalahan yang dilakukan.

Jelasnya lagi, misalnya, cuci duit melibatkan tiga proses untuk ‘menghalalkan’ wang haram itu iaitu penempatan, pelapisan dan integrasi bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan sumber asal kegiatan terbabit.

“Itu yang berlaku pada sesetengah kes yang disiasat, kita dapati ada aliran tunai yang digunakan adalah daripada kegiatan jenayah jadi rampasan dan tangkapan perlu dilakukan.

“Kita perlu siasat sama ada harta-harta tersebut dibeli daripada hasil wang haram. Tindakan pembekuan dan sita memberi kesan besar ke atas kumpulan atau penjenayah kerana kekuatan kewangan mereka dapat dilumpuhkan,” ujar beliau.

Bagaimanapun, tambah beliau, siasatan pengubahan wang haram bukan sahaja di bawah PDRM sebaliknya agensi penguat kuasa lain juga mempunyai unit AMLA sendiri seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) namun bergantung kepada elemen kes disiasat.

Justeru, kata beliau, masyarakat dinasihatkan untuk tidak terlibat dan membantu mana-mana individu dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Sesiapa yang didapati terlibat akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang menjanjikan hukuman berat dan jumlah denda yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×