IPOH: Secara teknikalnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah pun tumbang selepas UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, semalam.
Pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, apa yang ada sekarang adalah kerajaan sementara untuk menunggu pembentukan sebuah kerajaan baharu.
“Kerajaan baharu ini akan mentadbir hingga tamat tempoh Parlimen yang ada sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Abdul Aziz, justeru blok terbesar ketika ini ialah di bawah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seramai 89 ahli Parlimen.
“Sebab itu beliau (Anwar) berhak diberi peluang untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong perlu memberi ruang kepada Anwar dahulu.
“Pendekatan ini dibuat oleh Sultan Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. Ketika itu Pakatan Harapan (PH) adalah kumpulan terbesar dengan 29 daripada 59 kerusi dan akhirnya PH dapat membentuk kerajaan dengan majoriti 31 daripada 59 kerusi,” jelasnya.
Mengenai desas-desus untuk melantik veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri, Abdul Aziz berkata, ia tidak boleh dilakukan.
“Beliau tidak ada majoriti, beliau perlu ada sokongan yang lebih besar dari apa yang dimiliki oleh Anwar,” katanya.
Semalam, UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundur diri.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan tempoh memberikan sokongan kepada Perdana Menteri ditarik balik dan ditamat serta-merta. – UTUSAN










