LONDON: Biarpun sudah 27 tahun berlalu, namun pertemuan menentang Itali esok dilihat peluang terbaik buat pengendali Sepanyol, Luis Enrique untuk melunaskan dendam peribadi.
Sepanjang 27 tahun, Enrique dibayangi insiden disiku legenda Azzurri, Mauro Tassotti yang menyaksikan darah mengalir di hidungnya pada suku akhir Piala Dunia 1994.
Tassotti terlepas sebarang tindakan dan Sepanyol dinafikan penalti pada masa kecederaan. Itali akhirnya melakar kemenangan 2-1.
Kedua-dua pasukan sudah 14 kali bertemu sejak insiden ‘berdarah’ itu, di mana Sepanyol menang lima kali, Itali dua dan tujuh lagi perlawanan berkesudahan seri.
Bagaimanapun sejak Piala Dunia 1994, Enrique tidak pernah terlibat dalam pertemuan Sepanyol-Itali.
Esok buat kali pertama dia akan bertemu pasukan yang pernah melukakan hatinya.

Jurulatih berusia 51 tahun itu enggan bercakap soal dendam peribadi, sebaliknya hanya mahu memikirkan bagaimana hendak membawa La Roja ke final dan memburu kejuaraan Eropah keempat.
“Saya sentiasa mengatakan bahawa kami adalah satu dari lapan pasukan yang akan menjuarai Kejohanan Eropah dan kini kami antara empat terbaik.
“Adalah tidak masuk akal bila berada di separuh akhir dan tidak memikirkan untuk melangkah lebih jauh. Itu objektif kami bertanding,” kata Enrique.










