Sukma 2026: Pasukan berbasikal Perlis sasar sumbang dua emas - Utusan Malaysia

Sukma 2026: Pasukan berbasikal Perlis sasar sumbang dua emas

ATLET dan pihak pengurusan pasukan berbasikal Perlis merakamkan gambar bersama pada Majlis Ramah Mesra Bersama Atlet Pasukan Berbasikal Negeri Perlis Ke Sukma Selangor 2026 di Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasukan berbasikal negeri ini sasar meraih dua pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 yang bakal berlangsung bulan depan.

Sasaran dua pingat itu masing-masing melibatkan kategori trek dan lumba lebuh raya berpasukan.

Pengurus pasukan, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu menerusi atlet senior serta junior yang berpengalaman dan pernah mengikuti temasya itu sebelum ini.

Katanya, jika diikutkan rekod Sukma Sarawak sebelum ini, mereka kurang bernasib baik apabila menamatkan kejohanan di kedudukan keempat.

“Jadi dengan persiapan dibuat, kita yakin tahun ini sekurangnya dapat bawa balik dua pingat emas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Atlet Pasukan Berbasikal Negeri Perlis Ke Sukma Selangor 2026 di Majlis Sukan Negeri (MSN), di sini, hari ini.

Ku Hasrin berkata, pasukan dijangka memberi saingan buat kem berbasikal negeri ini dalam temasya kali ini adalah seperti Terengganu, Selangor, Perak dan Sarawak.

“Kita akan hantar sembilan atlet berbasikal pada kali ini untuk menyahut cabaran dan membawa pulang pingat buat negeri ini,” katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, Ku Hasrin berkata, majlis itu bertujuan beramah mesra dan mengadakan perjumpaan bersama atlet persatuan berbasikal, MSN dan kelab-kelab berbasikal negeri ini.

Katanya, majlis itu turut diserikan dengan sesi pengenalan jersi rasmi pasukan berbasikal negeri bagi temasya Sukma Selangor 2026.

“Sebagai rekod, kita di Perlis mempunyai lima kelab yang bernaung di bawah Persatuan Berbasikal Negeri dan kami turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN