Pengorbanan besar rakyat demi nyawa - Utusan Malaysia

Pengorbanan besar rakyat demi nyawa

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan keluarga di rumah secara sederhana.

Beliau berkata, dalam tempoh fasa pemulihan ketika ini, kerajaan menguatkuasakan beberapa larangan tertentu mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi melindungi nyawa daripada bahaya Covid-19, namun kemeriahan sambutan perayaan tetap dirasakan.

Bagaimanapun, kata beliau, berita baik adalah solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat dibenarkan dengan diperluaskan kuantitinya kepada 50 orang dengan penetapan SOP Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri mengikut kesesuaian di negeri atas perkenan Sultan-sultan Negeri.

“Saya berharap agar saudara dan saudari mengekalkan disiplin dan kepatuhan terhadap SOP. Ketika ini kita masih tidak diizinkan melakukan aktiviti merentas negeri dan saling menziarahi.

“Saya merayu agar kita semua bersabarlah dalam mematuhi SOP, kerana pengorbanan saudara dan saudari merupakan jihad besar di sisi Allah SWT dalam ikhtiar menyelamatkan nyawa kita semua,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidiladha 2021, malam tadi.

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan ibadah korban kali ini mungkin sedikit berbeza dengan kaedah sebelumnya tertakluk kepada pematuhan garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam negeri dan Jabatan Veterinar.

Jelas beliau, panduan dan SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa perlu dipatuhi semata-mata memenuhi tuntutan syarak dalam melindungi nyawa daripada bahaya Covid- 19.

Beliau pada masa sama berdoa dalam keadaan negara masih diuji wabak Covid-19, masing-masing dapat melaksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan dan keinsafan agar Allah SWT menerima segala amal, pengorbanan dan kebajikan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri amat memahami ramai dalam kalangan jemaah amat sedih dengan keputusan pihak berkuasa Arab Saudi tidak membenarkan jemaah negara luar termasuk Malaysia ke Tanah Suci lantaran wabak yang masih berleluasa.

Katanya, peluang untuk menunaikan ibadah haji merupakan saat yang sangat ditunggu-tunggu umat Islam kerana ibadah itu merupakan penzahiran kemuncak ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kepada Allah SWT.

Namun, beliau percaya semua dapat menerima ketentuan ini dengan penuh reda, sabar dan berlapang dada di samping berharap pada tahun hadapan Allah SWT mengizinkan umat Islam di Malaysia untuk kembali mengerjakan haji.

Muhyiddin berkata, sambutan Aidiladha memberikan ruang untuk menghayati nilai pengorbanan tinggi sebagaimana diperintahkan Allah SWT dan melalui contoh ikutan junjungan besar Rasulullah SAW.

Katanya, hikmah sambutan Aidiladha juga mengingatkan kembali kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang diuji Allah kerana diperintah menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail a.s sebagaimana dinyatakan dalam surah as-Saffat, ayat 102.

Beliau berkata, bukti ketaatan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam melaksanakan perintah Allah adalah penzahiran keteguhan keimanan mereka terhadap Allah dan pengorbanan baginda memberi makna amat besar khususnya kepada umat Islam.

“Bentuk pengorbanan yang tinggi juga sedang ditunjukkan khususnya para petugas barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan, keselamatan, penjawat awam mahupun sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam kita masih lagi berusaha melawan wabak Covid- 19 yang melanda negara semenjak lebih setahun lalu.

“Saya sangat menghargai pengorbanan ini. Saya doakan agar pengorbanan saudara dan saudari petugas barisan hadapan, malah pengorbanan rakyat secara umumnya akan dikurniakan ganjaran terbaik di sisi Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN