Penduduk Taman Nagasari diingatkan tidak ingkar perintah PKPD -

Penduduk Taman Nagasari diingatkan tidak ingkar perintah PKPD

GOOI HSIAO Leung (tiga dari kiri) bersama beberapa wakil daripada agensi serta jabatan kerajaan berkaitan selepas mengadakan tinjauan dan mesyuarat khas mengenai PKPD Taman Nagasari, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Penduduk Taman Nagasari di Mukim 6, Seberang Perai Tengah di sini diingatkan tidak sesekali cuba mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bakal dilaksanakan di situ selama dua minggu bermula tengah malam ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, perbuatan seperti keluar dari lokasi itu untuk tinggal di tempat lain terutama ketika pihak berkuasa sedang giat membuat persediaan melaksanakan perintah kawalan berkenaan adalah tidak bertanggungjawab.

Katanya, MBSP memberi amaran keras kepada mana-mana penduduk dan majikan dalam kawasan itu supaya tidak bertindak membelakangi keselamatan awam serta menyalahi undang-undang.

“Majikan dan pekerja diarah untuk kembali ke kediaman masing-masing supaya pihak KKM (Kementerian Kesihatan) boleh melakukan saringan komuniti dengan cepat,” katanya di sini hari
ini.

Jelas Rozali, MBSP juga mempunyai rekod yang lengkap untuk menjejaki mana-mana individu yang ingkar menerusi operasi bersepadu yang akan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KKM.

Terdapat sebanyak 940 unit kediaman di Taman Nagasari dengan 244 daripadanya untuk kegunaan industri dan 66 untuk kegiatan perdagangan manakala 295 dan 335 unit lagi masing-masing melibatkan rumah teres dan rumah pangsa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung dalam kenyataan memberitahu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan melaksanakan saringan Covid-19 secara besar-besaran kepada penduduk terlibat esok.

Tambahnya, sebuah klinik bergerak juga akan ditubuhkan bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada mereka yang memerlukan.

“Buat masa ini, saya sedang berusaha memastikan rantaian komunikasi penduduk tidak terputus untuk membolehkan kita mengedarkan segala bantuan yang diperlukan,” ujarnya.

Tambah Hsiao Leung, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat berkaitan penduduk yang tinggal di dalam kawasan dalam kawasan PKPD Taman Nagasari tersebut dan berharap mereka yang memerlukan bantuan dapat menghubungi pejabatnya di talian 011-24184964.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN