KUALA LUMPUR: Berasal daripada keluarga sederhana tidak pernah menjadi penghalang buat dua anak kelahiran Perak, Datuk Seri Mossco Woo Chin Teck dan Subha Sathiamoorthy Maraiah, untuk menempa kejayaan dalam dunia korporat sehingga menerima pengiktirafan berprestij di peringkat kebangsaan.
Kedua-duanya kini menerajui sebuah syarikat tempatan bertaraf antarabangsa sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, dengan operasi yang merangkumi sektor pembinaan, tenaga, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi, infrastruktur serta perlombongan di Kelantan dan Sabah.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan serta sumbangan mereka kepada industri, Woo Chin menerima Super Golden Bull Award 2026, manakala Subha dinobatkan sebagai penerima Golden Bull Inspirational Entrepreneur Award 2026 pada majlis Golden Bull Awards 2026 yang berlangsung di ibu negara, Khamis lalu.
Majlis tersebut telah disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Berkongsi rahsia kejayaannya, Woo Chin berkata, kepercayaan sepenuhnya terhadap rakan kongsi, komitmen tinggi serta dedikasi dalam setiap tugasan menjadi asas kepada pencapaian syarikat.
“Matlamat kami pada masa depan adalah untuk menjadi sebuah lagi syarikat Malaysia yang tersenarai dalam World Fortune 500 companies,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Subha berkata, kejayaan syarikat didorong oleh budaya kerja yang berteraskan perancangan strategik, selain sentiasa mengutamakan inovasi dan penerapan teknologi baharu.
“Prinsip kami mudah, plan your work and work your plan. Kami sentiasa dahagakan inovasi, teknologi baharu dan mahu terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, mereka berkata fokus utama adalah untuk menerajui pembangunan teknologi telekomunikasi dan infrastruktur di Sabah, di samping memperluaskan pelaksanaan projek tenaga hijau serta rangkaian gentian optik menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah.
Pada masa sama, syarikat itu turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam pembangunan sebuah makmal ujian perlombongan khas bagi unsur nadir bumi (REE) dan emas.
Menurut mereka, makmal tersebut dijangka menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang dilengkapi Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi ujian unsur nadir bumi (REE).
“Makmal ujian di Kelantan ini bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mempunyai SOP khas bagi ujian REE. Ini merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan,” katanya.
Kejayaan yang dikecapi oleh Mossco dan Subha membuktikan bahawa latar belakang bukanlah penentu masa depan seseorang. Sebaliknya, usaha gigih, kepimpinan berwawasan dan semangat berpasukan mampu membuka jalan ke arah kejayaan.
Mereka juga diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk berani menceburi bidang keusahawanan dan korporat, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan negara. – UTUSAN










