Pendirian UMNO kekal tarik sokong terhadap Muhyiddin - Utusan Malaysia

Pendirian UMNO kekal tarik sokong terhadap Muhyiddin

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO masih mengekalkan pendirian menarik sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun Proklamasi Darurat tidak disambung selepas 1 Ogos ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pendirian tersebut tidak berubah sehingga kini.

Beliau berkata, UMNO juga masih belum membuat pendirian berhubung keputusan kerajaan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat kelak.

Beliau menjelaskan, keputusan itu tidak melibatkan beliau seorang sebagai Presiden, namun perlu secara kolektif de­ngan perbincangan semua ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“Walaupun parti membuat keputusan bahawa menteri dan timbalan menteri daripada UMNO akan meletak jawatan jika Proklamasi Darurat dite­ruskan namun parti belum membuat keputusan selanjutnya ekoran perkembangan terbaharu ini.

“Kita belum berbincang terhadap pendirian terbaharu kerana keputusan parti adalah keputusan kolektif. Sekarang kita belum mengadakan mesyua­rat MT yang bakal dilakukan secara dalam talian pada masa terdekat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini Ahmad Zahid dalam kenyataan memaklumkan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO akan meletak jawatan sekiranya Proklamasi Darurat diteruskan selepas 1 Ogos ini dengan keteta­pan tersebut dibuat sempena Sidang Khas Parlimen.

Katanya, tindakan tersebut juga dibuat sebagai mendukung dan mentaati titah Yang di-Pertuan Agong dan Maj­lis Raja-Raja Melayu bahawa tiada keperluan untuk darurat diteruskan serta segala Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata, ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan pendirian parti untuk mengusulkan agar Parlimen membahas dan membatalkan Proklamasi Darurat.

Ketika ditanya bila tarikh mesyuarat MT akan diadakan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu dalam masa terdekat berikutan pada masa sekarang ahli-ahli Parlimen UMNO menyertai Sidang Khas Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×