KUANTAN: Seorang pembantu penerangan tidak menyangka rakaman hebahannya dalam bahasa Mandarin di kawasan Perumahan Inderapura di sini, kelmarin bukan sahaja menarik perhatian penduduk setempat, malah menjadi tular dalam laman sosial.
Pembantu penerangan itu, Nur Allyshia Ariana Low, 27, berkata, ketika melalui rumah yang dihuni masyarakat Cina, dia memberikan hebahan tentang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar di situ dalam bahasa Mandarin bagi memudahkan pemahaman penduduk di kawasan tersebut.
Jelasnya, secara kebetulan hebahannya menarik minat sepasang suami isteri kaum Cina di kawasan tersebut yang selepas itu mengambil kesempatan mengajukan pertanyaan tentang vaksin Covid-19.
Beliau berkata, dia sama sekali tidak menyangka video terbabit menjadi tular di laman sosial dan mendapat pujian daripada orang ramai.
Menurutnya, niat dia berbahasa Mandarin untuk memberikan penerangan dengan lebih jelas sekali gus bertanya khabar tetapi tidak menyangka ia menjadi satu perbualan yang menarik perhatian.
“Kebetulan ketika itu pasangan suami isteri itu berada di pagar rumahnya bagi mendengar penerangan dan apabila mendengar saya berbahasa Mandarin mereka juga teruja untuk berbual.
“Jadi, rakan sekerja memberhentikan van, kemudian saya bersembang bertanyakan bekalan makanan mencukupi atau tidak. Pasangan berkenaan memaklumkan barangan keperluan mencukupi tetapi sayur-sayuran sahaja tidak cukup.
“Saya juga memaklumkan barangan boleh didapati di pasaraya berdekatan dan hanya seorang sahaja dibenarkan keluar,” katanya di sini hari ini.
Video berdurasi 30 saat itu yang dimuat naik dalam akaun Tiktok ‘kecibum’ mendapat reaksi positif daripada netizen.
Rata-ratanya memuji tindakan Nur Allyshia menyapa pasangan Cina terbabit sehingga mendapat 19,300 ‘like’ dan lebih 620 komen.
Sementara itu, pengguna akaun tiktok, Puteralangkat memuji tindakan Nur Allyshia selepas video itu tular di laman sosial terbabit.
“Ini adalah kelebihan yang ada pada dia”, tulisnya di ruangan komen milik kecibum.
Manakala, bagi Makcik Sunflower berbangga dengan pencapaian anak Melayu yang boleh berbahasa selain bahasa ibunda.
“Aku suka anak-anak melayu kita belajar bahasa Cina, amat penting siapa yang ada anak. Galakan mereka belajar bahasa Cina tidak rugi pun,” komennya.
Sementara, dayanabahazelan turut memberikan komen ringkas, “Terbaekkk..Good Job Ally. – UTUSAN ONLINE










