Kilang bukan punca utama jangkitan Covid-19 - Utusan Malaysia

Kilang bukan punca utama jangkitan Covid-19

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tanggapan bahawa kluster sektor pembuatan atau kluster kilang merupakan punca utama jangkitan Co­vid-19 dalam masyarakat sebenarnya jauh tersasar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menurut data Kementerian Kesihatan, kes penularan Covid-19 yang melibatkan sektor pembuatan ha­nya lima hingga 10 peratus da­ripada jumlah kes keseluruhan.

Beliau menegaskan, pengesanan kluster adalah penting, namun yang lebih kritikal ialah jumlah mutlak kes yang mana kes sporadik dalam komuniti menyumbang kepada 70 peratus kes keseluruhan manakala hanya 30 peratus kes merupakan kes kluster, termasuk kluster sektor pembuatan.

“Penutupan ki­lang hanya akan memberi impak minimum kepada kawalan penularan Co­vid-19 tetapi impak­nya sa­ngat besar kepada pekerja yang kehilangan mata penca­rian dan juga rantaian bekalan ter­utamanya bekalan asas,” katanya dalam ulasan isu semasa Laporan Laksana Ke-63 semalam.

Namun begitu, Tengku Zaf­rul menjelaskan, kerajaan tidak mengambil mudah langkah untuk mengurangkan kadar jangkitan di tempat kerja.

Kata beliau, kerajaan telah melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) Covid-19 yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi, khususnya bagi golongan pekerja.

Melalui program itu, jelas beliau, kerajaan akan menyedia­kan bekalan vaksin manakala pihak syarikat dan kilang memudah cara urusan logistik.

“Selain daripada Pikas, kerajaan telah mengumumkan inisiatif seperti Safe@Work dan insentif potongan cukai bagi ujian saringan.

“Kerajaan juga bersetuju memberikan potongan cukai atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh majikan.

“Selain itu, potongan cukai atas sumbangan Covid-19 me­lalui projek komuniti atau amal juga diperluas meliputi sumbangan kepada PPV,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, setakat 23 Julai, sejumlah 16,697 syarikat melibatkan lebih 1.2 juta pekerja telah berdaftar de­ngan Pikas dan daripada jumlah itu, 255,705 orang pekerja telah menerima dos pertama sementara 20,832 orang lagi telah menerima dos kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×