SEREMBAN: Lebih separuh daripada 1,033 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) hari ini adalah daripada kes sporadik.
Sebanyak 528 kes sporadik dikesan di negeri ini dengan daerah ini sahaja mencatatkan sebanyak 311 kes yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.
Daripada 528 kes sporadik yang dikesan itu, sebanyak 219 hasil daripada saringan banduan iaitu sebanyak 122 kes di daerah Jelebu dan 97 kes pula di daerah Seremban.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi Dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan sementara itu berkata, kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini menjadikan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 54,219 kes.
“Dukacita dimaklumkan, terdapat 13 kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada CPRC JKNNS hari ini.
“Daripada jumlah kumulatif tersebut, 45,865 kes telah sembuh dan discaj, 7,849 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 505 kes telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, daripada jumlah kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini di negeri ini, sebanyak 191 kes adalah dari kluster industri dan tempat kerja.
Negara mencatatkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi hari ini apabila merekodkan 11,079 kes dengan Selangor kekal mencatat kes baharu tertinggi dengan 5,263 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 1,521 kes dan Negeri Sembilan 1,033 kes. – UTUSAN ONLINE










