BAITULMUQADDIS: Seorang pegawai Israel mendakwa bahawa Tel Aviv telah menggugurkan syarat terdahulu yang mewajibkan Hamas dilucutkan senjata sebelum membenarkan penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) memasuki Gaza.
Pegawai Israel yang tidak dinamakan dan dipetik oleh saluran televisyen Channel 12 mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengambil langkah itu sebagai isyarat muhibah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump
Trump, memperkenalkan Pelan Gaza 20 Perkara pada September 2025 bagi menamatkan konflik dan pelan itu kemudian menjadi asas kepada rangka kerja gencatan senjata yang diterima pakai pada November tahun lalu.
Pelan itu bertujuan menamatkan perang menerusi proses berperingkat yang menggabungkan pelaksanaan gencatan senjata, pertukaran tebusan dan tahanan, pelucutan senjata Hamas, pembaharuan pentadbiran selepas perang serta pembinaan semula Gaza.
Pelan itu turut membayangkan penggantian pemerintahan Hamas dengan sebuah pentadbiran teknokrat Palestin sementara yang bertanggungjawab memulihkan perkhidmatan awam dan mengurus peralihan Gaza ke arah sistem pentadbiran jangka panjang.
Pada masa sama, sebuah Lembaga Keamanan yang disokong AS akan menyelaras usaha pembinaan semula serta pembiayaan antarabangsa.
Pasukan ISF merupakan salah satu komponen utama pelan tersebut.
Pasukan itu akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan gencatan senjata, menyokong proses pelucutan senjata di Gaza, mengawal keselamatan operasi bantuan kemanusiaan dan membantu menstabilkan wilayah itu sepanjang proses pengunduran tentera Israel secara berperingkat.
Dalam pada itu, Netanyahu turut meluluskan penempatan ISF sebelum pertemuan mereka di Washington pada Selasa, menurut laporan media Yahudi.
Pasukan multinasional itu merupakan sebahagian daripada rangka kerja pentadbiran di bawah pelan Gaza yang dikemukakan Trump dan bertujuan membantu mengekalkan keselamatan serta kestabilan di wilayah itu selepas perang berakhir.
Menurut saluran televisyen Channel 12 Israel, pegawai Rumah Putih memaklumkan kepada rakan sejawatannya dari Israel bahawa Washington mengharapkan satu langkah diplomatik yang konkrit sebelum rundingan itu dapat diteruskan.
Penyiar itu melaporkan bahawa Duta Israel ke AS, Yechiel Leiter telah mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai yang rapat dengan Trump di Rumah Putih.
Susulan perbincangan tersebut, Netanyahu mempercepatkan mesyuarat Kabinet Keselamatan Israel yang kemudian meluluskan kemasukan pasukan ISF ke Gaza sebelum beliau berlepas ke Washington. – AGENSI










