Langgar syarat lesen lombong bijih besi di Kual Krai, enam lelaki ditahan

Langgar syarat lesen lombong bijih besi di Kual Krai, enam lelaki ditahan

BULATAN yang bertanda warna kuning menunjukkan pelanggaran kegiatan melombong bijih besi di Mukim Kuala Nal, Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam individu termasuk lima pemandu kenderaan berat selepas dipercayai menjalankan kegiatan melombong bijih besi bernilai RM180,000 melangkaui kawasan yang diluluskan di bawah syarat lesen perlombongan di Mukim Kuala Nal, Batu Mengkebang di sini semalam.

Dalam Op Bersepadu Khazanah kira-kira pukul 1 petang itu, PGA turut merampas sebuah jentera berat, empat treler serta 360 tan bijih besi dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM2.98 juta.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa serbuan dilakukan pasukan operasi mendapati sebuah jentera berat jenis excavator sedang memindahkan bijih besi ke dalam empat treler.

Katanya, anggota bertugas kemudian mengarahkan kerja-kerja tersebut dihentikan bagi tujuan pemeriksaan dan penjaga kawasan lombong kemudian mengemukakan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong di bawah Seksyen 10, Akta Pembangunan Mineral 1994 yang dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan.

“Hasil semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan mendapati permit perlombongan tersebut masih sah sehingga 13 November 2026.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut bersama pegawai PTG mengesahkan aktiviti perlombongan telah diperluaskan sehingga melangkaui kawasan yang diluluskan di bawah syarat lesen perlombongan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan mendapati kesemua suspek mengaku bekerja di bawah seliaan seorang lelaki berusia 61 tahun yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia operasi perlombongan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil perlombongan itu dipercayai dihantar ke Kuantan, Pahang untuk diproses.

“Kesemua suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001.

“PGA akan meneruskan tindakan risikan dan pemantauan secara berterusan bagi mengesan sebarang pelanggaran syarat lesen, mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat serta membanteras aktiviti perlombongan haram di Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN