KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memberi kelonggaran untuk pihak masjid bandar, jajahan atau mukim menambah tempat penyembelihan haiwan korban di lokasi lain.
Yang Dipertua Maik, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kelonggaran itu dibuat berikutan pihaknya menerima maklumat terdapat masjid yang tidak dapat memenuhi syarat ditetapkan selain menerima permintaan tinggi melebihi had maksimum.
Katanya, tempat penyembelihan tambahan tersebut dikehendaki menepati syarat utama iaitu perlu dikawal selia pihak masjid berkenaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tempat itu hendaklah dalam kawasan berpagar dengan keluasan sekurang-kurangnya 10 meter persegi, bersih, selamat dan tidak berhampiran saliran awam manakala jumlah maksimum haiwan tidak melebihi lima ekor sehari atau 20 ekor dalam tempoh empat hari bermula 20 hingga 23 Julai ini.
“Ia juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia ( PDRM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, aktiviti korban persendirian atau keluarga tetap tidak dibenarkan.
Sebelum ini Maik mengumumkan ibadat korban hanya boleh dibuat di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri serta rumah sembelihan ruminan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) atau kompleks abatoir yang terdapat di tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Machang serta Pasir Mas.
Aktiviti korban tidak dibenarkan dilakukan secara persendirian bersama keluarga serta di seluruh kawasan yang terbabit dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – UTUSAN










