Kecoh darurat tamat tanpa perkenan Agong - Utusan Malaysia

Kecoh darurat tamat tanpa perkenan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sejak 11 Januari lalu dan sepatutnya tamat pada 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan juga memutuskan membatalkan semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.

TAKIYUDDIN HASSAN

“Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.

“Kerajaan juga menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” kata beliau pada Sidang Khas Parlimen semalam.

Enam Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan sebelum ini ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Pengumuman Takiyuddin tersebut mendapat pelbagai reaksi terutama berhubung kaedah penamatannya kerana tidak dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar undang-undang, Datuk Salleh Buang berkata, kerajaan atau menteri bertanggungjawab boleh mengumumkan hasrat kerajaan namun Proklamasi Darurat yang ditamatkan hanya sah jika diisytiharkan dan diwartakan.

Menurut beliau, Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas memberi peruntukan kepada Agong untuk mengumumkan suatu Proklamasi Darurat setelah berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku.

“Oleh itu, pengumuman berkenaan penamatan darurat (diumumkan Takiyuddin) belum sah selagi Proklamasi Darurat itu belum diperkenan Yang di-Pertuan Agong seterusnya diwartakan.
“Dari sudut undang-undang, mesti ada proklamasi untuk mula dan tamatkan darurat. Menteri boleh umum tetapi hanya sah selepas diisytihar dan diwartakan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ketika berucap di Parlimen mendakwa pengumuman tersebut sebagai satu penghinaan kepada institusi beraja.

Menurut Anwar, ini kerana kerajaan seharusnya terlebih dahulu menyembah maklum dan memohon perkenan Seri Paduka berhubung Proklamasi Darurat.

“Apakah pembatalan ini mendapat perkenan Agong? Oleh demikian pengumuman tidak boleh dibuat tanpa perkenan Seri Paduka dan ia seolah-olah satu penghinaan kepada Majlis Raja-Raja,” kata Anwar.
Ahli Parlimen (PH-Bagan), Lim Guan Eng pula meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab sejelas-jelasnya mengenai pelaksanaan perintah darurat dan Proklamasi Darurat.

Dalam pencelahan, Guan Eng kesal kerana Muhyiddin tidak menyebut dalam penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bahawa Ordinan Darurat telah dimansuhkan sejak 21 Julai lalu.

“Saya nak tanya apakah ini bermakna semua denda-denda yang dikenakan, semua hukuman yang dijalankan selepas 21 Julai akan terbatal dengan sendirinya?
“Adakah ini sudah dipersembahkan ke Istana (Yang di-Pertuan Agong)? Darurat tidak akan dilanjutkan selepas 1 Ogos, adakah ini juga sudah dipersembahkan ke Istana Negara kerana negara nak tahu kedudukan sekarang,” katanya.

Pada 11 Januari lalu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang dijadual hingga 1 Ogos sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Proklamasi Darurat dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas mendengar cadangan daripada Kabinet.

Sepanjang tempoh Proklamasi Darurat, pilihan raya umum (PRU) mahupun pilihan raya kecil tidak boleh diadakan manakala Parlimen dan Sidang Undangan Negeri juga ditangguhkan.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut menyelar pengumuman Takiyuddin.
“Dari awal saya cakap, darurat ini untuk selamatkan Perdana Menteri, bukan (pemulihan) Covid-19” tegas Mohamad Sabu (PH-Kota Raja).

Kata Mohamad lagi, sebelum darurat, kes Covid-19 sekitar 6,000 kes sehari tetapi semasa darurat, kes meningkat sehingga kelmarin sampai 17,000 kes.
“Ertinya, darurat ini sia-sia. Yang untung Muhyiddin, selamat sampai sekarang. Darurat ini menyelamatkan PM bukan rakyat,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×