Kak Melah sudah tidak gerun tengok polis - Utusan Malaysia

Kak Melah sudah tidak gerun tengok polis

PEGAWAI dan anggota polis IPD Tumpat dibantu tentera mengedarkan barangan makanan kepada penduduk di Kampung Belukar Berangan, Tumpat hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Penduduk Kampung Belukar Berangan, di sini tidak lagi gerun tanpa sebab melihat kelibat polis masuk ke kawasan kampung mereka hari ini, biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dikuatkuasakan.

Mereka sebaliknya ceria menyambut kehadiran pihak berkuasa itu yang mengambil inisiatif menyantuni orang ramai sambil menyampaikan bantuan bekalan makanan dari rumah ke rumah menerusi Op Bantu.

Turut turun padang bertemu sendiri orang ramai, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli yang sanggup berjalan kaki menyeberangi landasan keretapi bagi mengagihkan bantuan.

Menurut Mohd. Razi, kerja-kerja mengagihkan sumbangan tu dibuat tanpa mengira tempat dan sesiapa sahaja, asalkan pihaknya menerima laporan ada rakyat yang terkesan akibat pandemik dan perlu dibantu.

“Sumbangan ini bukan hanya memberi tumpuan kepada golongan asnaf, tetapi kepada golongan yang terkesan akibat PKP kerana mereka tidak dapat bekerja dan mengalami masalah kewangan. 

“Bantuan disampaikan hari ini mengandungi bekalan makanan asas seperti gula, minyak masak, susu, telur, sardin dan akan diagihkan secara berperingkat setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut.

Agihan bantuan itu turut dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). 

Sementara itu, Ramlah Sulaiman, 53, mesra dipanggil Kak Melah berkata, dia bersyukur menerima bantuan makanan selepas terpaksa berjimat cermat kerana anak yang menjadi tempat dia dan suami bergantung tidak dapat bekerja sepanjang PKP ini.

“Suami tidak mampu bekerja setelah diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu manakala anak pula bekerja sendiri. Bila PKP dikuatkuasakan, dia sudah tidak boleh keluar bekerja untuk menyara kami sekeluarga.

“Sebelum ini Kak Melah memang gerun tengok polis kerana takut dikompaun, hari ini mereka turun kepada masyarakat, boleh berbual dengan mesra dan tidak lagi marah-marah. Ini satu pendekatan yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN