JAS ambil tindakan tegas, MPKu arah premis haram ditutup - Utusan Malaysia

JAS ambil tindakan tegas, MPKu arah premis haram ditutup

KAKITANGAN JAS melakukan pemeriksaan terhadap bahan kimia yang ditempatkan di sebuah tapak penstoran haram yang menyebabkan aliran bahan itu ke Sungai Sengkuang di Kampung Baru, Sengkang di Kulai, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Premis menyimpan bahan kimia yang terlibat dengan kejadian tangki penyimpanan bahan itu pecah dan mengalir ke Sungai Sengkang, di sini beroperasi secara haram.

Tapak pertanian di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang itu tidak mempunyai kebenaran untuk menyimpan bahan kimia yang setakat ini dikenal pasti sebagai Methyltriocdylam Monium Chloride, Hydrogen Peroxide Solution dan N-Methyl Cyclohexylamine.

Justeru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis penstoran haram bahan kimia tersebut serta pemilik yang menghasilkan bahan berkenaan.

Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusof berkata, tindakan tegas itu diambil setelah berlaku tumpahan sisa kimia dari stor haram tersebut yang menyebabkan berlaku pencemaran ke Sungai Sengkang seterusnya ke Sungai Skudai.

Beliau berkata, tindakan pantas agensi penguat kuasa seperti Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) berjaya menyekat lebih banyak tumpahan berlaku.

“Susulan menerima aduan berkaitan insiden itu, JAS Johor telah membuat siasatan terperinci dengan bantuan agensi berkaitan di sungai berdekatan. Pengawasan dibuat mendapati sungai itu tidak lagi tercemar setakat ini.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, JAS memasang beberapa ‘oil boom’ di sungai itu untuk memastikan tidak ada pencemaran yang berlaku sebagai perlindungan lapisan kedua,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di stor penyimpanan terbabit, di sini hari ini.

Serentak itu, pihak MPKu juga telah mengarahkan premis haram itu untuk berhenti operasi dan akan ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan.

Dr. Famey berkata, JAS sedang membuat siasatan seterusnya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap tuan tanah dan pihak yang melupuskan bahan tersebut.

Tambahnya, pegawai penyiasat jabatan itu masih lagi menjalankan siasatan terperinci selain mengambil sampel terbabit untuk dianalisa bagi mengesan jenis bahan kimia terlibat.

“Kita juga sedang menyiasat dari mana bekalan bahan sisa buangan itu dibawa sama ada dari daerah ini atau dari luar Johor. Kita akan mengesan pemilik bahan sisa buangan itu selepas merakam percakapan pemilik premis ini dalam masa terdekat. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta 127 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan kegiatan pelupusan secara haram. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya