Jangan ambil kesempatan kibar 'bendera putih' - Utusan Malaysia

Jangan ambil kesempatan kibar ‘bendera putih’

PENGHUNI rumah yang terjejas lazimnya akan mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Orang ramai di negeri ini dinasihatkan tidak mengambil kesempatan mengibarkan bendera putih di hadapan rumah walaupun sebenarnya tidak memerlukan bantuan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat penghuni rumah yang masih mengibarkan bendera putih meskipun mereka telah diberikan bantuan sebelum ini.

“Ada rumah-rumah yang didapati masih meletakkan bendera putih walaupun Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang sudah bantu. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sudah memberikan bantuan namun ada yang masih tidak menurunkan bendera putih itu.

“Saya menerima laporan, apabila mereka menerima bantuan, mereka menurunkan bendera itu namun selepas itu memasangnya semula. Alasan yang diberikan adalah mereka mahu menerima lagi bantuan daripada pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee Koon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang menambah, apa yang dilakukan oleh penghuni rumah tersebut adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab, cuba mengambil kesempatan dan menyalahgunakan konsep bendera putih itu.

“Konsep bendera putih ini sekiranya anda benar-benar memerlukan dan putus bekalan makanan. Turunkan bendera putih setelah menerima bantuan, selepas habis bekalan makanan barulah pasang kembali.

“Ada pula yang meminta jiran-jiran mereka untuk turut sama mengibarkan bendera putih, perbuatan itu mungkin menghalang bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan supaya individu yang benar-benar memerlukan supaya tidak segan untuk memaklumkan jika mereka sedang menghadapi putus bekalan makanan.

“Mereka boleh menghubungi pusat khidmat wakil rakyat, banyak NGO juga prihatin memberikan bantuan. Ibu Pejabat Polis Daerah juga ada menyediakan bantuan, banyak ‘foodbank’ juga kini disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN