Gelandangan hidap kanser meninggal dunia  - Utusan Malaysia

Gelandangan hidap kanser meninggal dunia 

GULAM Aziz yang kisahnya pernah disiarkan Utusan Malaysia sehingga dibantu ZPP berpindah ke kediaman selesa meninggal dunia akibat kanser kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Gelandangan yang  menghidap kanser hidung tahap empat yang kisahnya pernah disiarkan Utusan Malaysia sebelum ini meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB), dekat sini Sabtu lalu.

Gulam Aziz, 65, menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital berkenaan akibat penyakit yang dialaminya itu pada pukul 6.29 pagi.

Kisah kehidupanya pernah mendapat liputan akhbar pada 24 Februari lalu apabila dia yang tinggal bersama kumpulan gelandangan lain di kaki lima Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini menyatakan hasrat untuk menetap di lokasi lebih selesa.

Dia yang hidup sebatang kara itu juga pernah meluahkan tidak sanggup tinggal dalam keadaan merempat dan kotor sebelum dijemput Ilahi.

Bagaimanapun, kisah Gulam yang dikatakan tinggal di situ sejak lebih dua tahun lalu itu mendapat perhatian pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) kurang 24 jam selepas kisahnya disiarkan dengan menempatkannya di Pusat Jagaan Darul Hanan, Seberang Perai Utara.

Dalam pada itu, jurucakap di Unit Forensik HSB berkata, pihak hospital kini sedang mengesan waris Allahyarham bagi urusan tuntutan jenazah lelaki tersebut.

“Pengesanan waris akan dilakukan dalam tempoh dua minggu sebelum pihak hospital sendiri akan menguruskan pengebumian jenazah nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambahnya, waris yang mengenali Allahyarham diminta menghubungi Unit Forensik HSB ditalian: 04-5824333 sambungan 204 atau Pegawai Forensik 019-572 8943 (Mazrul).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali memberitahu, Gulam dilaporkan dipindahkan dari Pusat Jagaan Darul Hanan ke Pusat Jagaan Ehsan di Kulim, Kedah pada April lalu selepas dilaporkan menghidap penyakit tibi.

“Bagaimanapun, kurang seminggu ditempatkan di pusat jagaan itu (Pusat Jagaan Ehsan), dia merayu untuk kembali hidup sebagai gelandangan di Pulau Pinang selain mahu berada berdekatan dengan Hospital Pulau Pinang.

“Dengan permintaannya sendiri, pihak berkenaan telah menghantarnya semula ke Pulau Pinang. Berita mengenai kematiannya baru kami ketahui,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Amran berkata, pihaknya dimaklumkan urusan pengebumian jenazah Gulam akan diuruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) manakala kosnya akan dibiayai oleh ZPP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN