Bukit Malut: Pihak berkuasa tunggu aduan rasmi - Utusan Malaysia

Bukit Malut: Pihak berkuasa tunggu aduan rasmi

LOKALITI Bukit Malut kini mencatatkan peningkatan tinggi penularan Covid-19 berikutan keengganan penduduknya untuk disaring walaupun berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pejabat Tanah Daerah Langkawi akan bertindak terhadap dakwaan penduduk Myanmar terus meneroka tanah dan membina rumah baharu di penempatan haram Bukit Malut, di sini sekiranya ada aduan tentangnya.

Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, beliau memandang serius mengenai dakwaan tersebut dan tindakan diambil selepas menerima aduan rasmi daripada mana-mana pihak.

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mana-mana pihak mengenai pencerobohan tanah dan pembinaan rumah baharu di Bukit Malut itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, akhbar ini melaporkan, penduduk Myanmar yang tinggal di penempatan haram di Bukit Malut di pulau peranginan ini semakin ‘besar kepala’ selepas mereka dikesan terus menerokai kaki bukit di kampung itu sejak awal tahun ini.

Penerokaan tersebut dipercayai melibatkan kerja-kerja menarah bukit dan menimbus tanah berpaya untuk tujuan membina rumah baharu di penempatan tersebut.

Walaupun kerajaan negeri mengumumkan penempatan itu akan dipindahkan ke lokasi baharu namun kumpulan terbabit berterusan membina rumah.

Saiful Anwar berkata, tanah di kawasan Bukit Malut itu adalah milik kerajaan negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Permodalan Kedah Berhad (PKB).

“Saya tidak pasti lagi sama ada penduduk yang membina rumah baharu itu mendapat kebenaran daripada pemilik tanah berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah penempatan haram di Bukit Malut itu dengan segera.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau mengakui sebahagian penduduk Myanmar yang tinggal di penempatan haran itu telah mendapat kad pengenalan setelah melalui proses yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

“Masalah penempatan haram ini perlu diselesaikan dengan secepat mungkin sebelum ia menjadi ‘bom jangka’ untuk tempoh 10 ke 20 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp enggan mengulas mengenai laporan tersebut kerana bimbang pihak-pihak tertentu memutar belit fakta.

“Takut nak ulas apa-apa dah… orang akan pulas pusing ikut suka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini