Awas! Jangan makan durian di gerai - Utusan Malaysia

Awas! Jangan makan durian di gerai

PEMERIKSAAN yang dijalankan anggota polis di gerai menjual durian yang tular dalam media sosial sejak semalam di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peniaga gerai durian di negeri ini diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan tidak membenarkan pengunjung makan di kawasan gerai.

Ketua Polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, perkara itu ditekankan susulan tular gambar dalam media sosial menunjukkan beberapa individu sedang menikmati raja buah itu di gerai tepi jalan.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan kompaun sekiranya mendapati ada peniaga dan pengunjung terbabit melanggar SOP tersebut.

“Polis memantau operasi sebuah gerai durian di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai yang didakwa tidak mematuhi SOP apabila membenarkan pelanggan makan di premis.

“Anggota polis sudah berulang kali membuat pemantauan di gerai terbabit sejak malam tadi namun tidak menemukan sebarang aktiviti yang melanggar SOP seperti yang ditular dalam media sosial,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, tular beberapa gambar gerai durian yang memaparkan orang ramai menjamu selera di lokasi itu yang didakwa berlaku di Jalan Tun Fatimah, Taman Ungku Tun Aminah yang membenarkan pelanggan makan di gerai berkenaan. 

Maklumat tular berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi dan kemarahan dalam kalangan warganet yang mempertikaikan tindakan pengusaha gerai berkenaan.

Rupiah berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis yang diterima berkaitan operasi gerai berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan bagi memastikan kesahihan gambar dan maklumat yang tular di media sosial.

“Sehingga kini gerai berkenaan didapati tidak melanggar sebarang SOP ditetapkan. Kita akan terus memantau operasi gerai termasuk gerai durian bagi memastikan mereka mematuhi SOP,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN