Anak muda gerak inisiatif agih barangan asas - Utusan Malaysia

Anak muda gerak inisiatif agih barangan asas

RADEN Mohammad Azwan Naharudin (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada salah seorang penerima di Jalan Ketam, Johor Bahru, di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keprihatinan sekumpulan anak muda terhadap beban hidup dihadapi masyarakat akibat pandemik Covid-19 ketika ini menggerakkan mereka untuk mengumpul dana bagi menyantuni seramai mungkin golongan memerlukan bantuan di daerah ini.

Pengasas Studio Kita, Raden Mohammad Azwan Naharudin, 29, berkata, inisiatif yang dijalankan pihaknya itu memberi manfaat kepada sejumlah 120 buah keluarga.

Katanya, pihaknya menjalankan program sumbangan barangan keperluan sebanyak empat kali sejak awal bulan ini.

“Mulanya, kami menggerakkan usaha mengumpul dana untuk membeli mesin basuh dan barangan keperluan makanan buat rumah anak yatim di Kampung Setanggi, di sini.

“Sasaran diletakkan hanya RM2,000 namun kami mengumpul sehingga RM6,000. Jadi lebihan wang itu digunakan untuk memulakan inisiatif sumbangan barangan keperluan kepada individu memerlukan bantuan

“Selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, agihan barangan keperluan ini dijalankan secara pandu lalu dan diagihkan kepada penerima yang ditapis bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Raden Mohammad Azwan, program agihan itu diusahakan sekumpulan sukarelawan Kita Komuniti yang terdiri daripada 12 individu berusia antara 21 tahun hingga 29 tahun.

“Kami menggerakkan usaha ini untuk membantu pihak yang memerlukan seramai yang boleh mengikut kepada kemampuan kami,” ujarnya yang turut mengalu-alukan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas, selain daripada sumbangan kewangan.

Tambah pekerja di sebuah hospital swasta tempatan itu, pihaknya bercadang meneruskan program berkenaan kerana masih menerima permohonan daripada pelbagai pihak yang memerlukan bantuan. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN