GUA MUSANG: Mayat seorang bayi lelaki berlumuran darah yang dijumpai di taman permainan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini, semalam dipercayai ditanam sedalam 10 sentimeter.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil rakaman percakapan terhadap saksi terlibat, bayi tersebut dikatakan dijumpai bersebelahan tong sampah di taman permainan itu.
Katanya, bayi tersebut ditanam dengan anggaran 10 sentimeter kedalaman tanah dan dibalut dengan kain putih.
“Polis masih mengesan suspek terlibat dalam kes pembuangan mayat bayi lelaki tersebut. Mayat bayi berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang kira-kira pukul 1 pagi tadi untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini, polis belum dapat mengenal pasti suspek yang terlibat. Usaha menghubungi pihak hospital dan sekolah berdekatan untuk mengesan suspek terlibat juga telah dijalankan,” katanya ketika hari ini.
Terdahulu, kira-kira 3,500 penduduk di PPR Gua Musang dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang dibaluti kain lampin berdarah berhampiran pondok dekat kawasan taman permainan, semalam.
Mayat bayi cukup sifat itu ditemukan pada pukul 10.30 malam oleh dua remaja lelaki yang sedang berehat di kawasan taman permainan tersebut. – UTUSAN









