8,653 pakar perubatan setakat 31 Mac

8,653 pakar perubatan setakat 31 Mac

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sehingga 31 Mac 2025, seramai 8,653 pakar perubatan sedang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan membuat beberapa inisiatif untuk meningkatkan jumlah pakar termasuk melaksanakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi memperkemas proses pengiktirafan kepakaran melalui program sarjana atau laluan parallel.

“Selain itu, KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan meningkatkan slot pengajian kepakaran program sarjana perubatan daripada 1,100 slot kepada 1,600 slot bagi 23 bidang kepakaran mulai sesi 2023/ 2024.

“Menyediakan slot program latihan kepakaran laluan parallel tajaan KKM sehingga 600 slot setiap tahun melibatkan 14 bidang kepakaran. Sehingga kini, seramai 7,452 pegawai perubatan sedang mengikuti program kepakaran sarjana dan parallel.

“Program latihan kepakaran (PLK) dengan biasiswa KKM bagi pegawai perubatan kontrak untuk mengikuti pengajian kepakaran mulai sesi 2022/2023. Sehingga kini, seramai 340 pegawai perubatan kontrak sedang mengikuti program kepakaran,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) berkenaan tindakan yang diambil terhadap isu kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan.

Dzulkefly berkata, selain menggalakkan pakar perubatan warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air, KKM juga melaksanakan beberapa langkah bagi retensi pakar sedia.

Katanya, antaranya mewujudkan Gred UD15 bagi pakar perubatan serta lebih peluang kenaikan pangkat ke gred khas atau gred utama.

“Pakar perubatan juga diberi kelonggaran untuk mengamal di sektor swasta di luar waktu bekerja biasa bagi menjana pendapatan tambahan serta pakar perubatan diberi peluang satu hari waktu bekerja fleksi setiap minggu bagi tujuan penyelidikan atau berkhidmat di sektor swasta yang tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN