PETALING JAYA: Kira-kira 63.13 peratus hotel terpaksa memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja masing-masing akibat kerugian operasi yang dialami sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Ling Seng berkata, dalam tinjauan yang dilaksanakan persatuan itu baru-baru ini, 44.69 peratus hotel melaksanakan pemotongan gaji langsung; 14.06 peratus memberhentikan pekerja manakala 34.69 peratus mengurangkan manfaat.
Katanya, sebanyak 73.75 pe-ratus memberikan tugasan pelbagai kepada pekerja dan hanya 21.25 peratus hotel kekal dengan status quo.
Menurut beliau, kebanyakan hotel melaksanakan lebih daripada satu langkah pengurusan kos tenaga kerja berdasarkan tinjauan tersebut.
“Sehingga awal tahun ini lebih kurang 120 hotel telah tutup, ada yang sementara dan ada yang sepenuhnya.
“Mengikut statistik MAH, lebih kurang 70 peratus hotel masih beroperasi. Ada yang beroperasi sebagai pusat kuarantin dan selainnya bergantung kepada penginap daripada industri perlu seperti sektor perubatan serta minyak dan gas, tetapi kadar purata penginapan dijangka tidak melebihi 20 peratus,” katanya di sini.
Tinjauan yang dilakukan MAH melibatkan 320 hotel dari seluruh negara.
Menurut Lip Seng, harapan industri perhotelan terletak kepada pembukaan secara bersasar destinasi pelancongan untuk destinasi yang akan mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.
Kata beliau, ini kerana kadar vaksinasi ketika ini masih tidak memberangsangkan untuk pembukaan sektor pelancongan sepenuhnya.
“Industri hotel dan pelancongan dijangka bergantung kepada pelancongan domestik untuk sekurang-kurangnya satu tahun akan datang,” katanya.
Tambah Lip Seng, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) baru-baru ini juga dilihat tidak memenuhi keperluan industri pelancongan, terutamanya perhotelan.
Walau bagaimanapun, kata beliau, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 yang diumumkan agak melegakan kerana boleh memanfaatkan majikan dengan subsidi yang akan merangkumi semua lapisan pekerja.
“Namun demikian, industri masih memerlukan pencerahan daripada kerajaan kerana PSU 4.0 adalah untuk dua bulan dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan untuk fasa ketiga bagi sektor dalam senarai negatif.
“Kami masih tidak tahu sama ada hotel masuk dalam kategori ini, kerana selama ini hotel disenaraikan sebagai sektor perlu.
“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan subsidi upah yang lebih tinggi untuk sektor pelancongan dan perhotelan,” katanya. – UTUSAN










