PETALING JAYA : Tugasan kawalan sempadan diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan pembubaran Pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
PDRM melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) meneruskan semua fungsi dan peranan dilaksanakan AKSEM di seluruh sempadan negara dengan menggunakan tuntutan undang-undang yang sedia ada.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Jemaah Menteri pada 12 Mac lalu bersetuju dengan cadangan Pelan Rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan dibawah PDRM dan Akta AKSEM 2017 (Akta 799) juga akan dimansuhkan.
Kata beliau, pelaksanaan penstrukturan semula AKSEM ke dalam PDRM dilaksanakan secara berfasa bermula hari ini hingga 30 September ini.
“Ia merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia, pengurusan kewangan serta perolehan dan ia perlu dilakukan dengan teratur,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Tugas AKSEM kepada PDRM di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Kata beliau, AKSEM ditubuhkan pada 29 Disember 2017 dengan pewartaan Akta 799 melalui gabungan keanggotaan tiga agensi induk iaitu PDRM, Jabatan Imigresen dan Kabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Bermula 1 Januari 2018, AKSEM berfungsi sebagai agensi kerajaan persekutuan dengan kekuatan 900 perjawatan dan beroperasi di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
“Menerusi penstrukturan semula itu, anggota Jabatan Imigresen dan JKDM dalam AKSEM akan diserapkan kembali ke jabatan masing-masing,” ujarnya.
Tambah Hamzah, susulan keputusan penstrukturan semula itu, empat jawatan kuasa kecil ditubuhkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Jawatan Kuasa Fungsi dan Perundangan, Jawatan Kuasa Sumber Manusia, Jawatan Kuasa Aset dan Fasiliti dan Jawatan Kuasa Kewangan.
“Tempoh peralihan fungsi AKSEM kepada PDRM dan pergerakan keluar anggota agensi itu daripada Jabatan Imigresen dan JKDM dilaksanakan secara berperingkat.
“Ini bagi memastikan tidak berlaku kelompongan seterusnya memberi kesan negatif kepada keselamatan sempadan negara.
“PDRM sudah merangka pelan strategi secara penstrukturan semula Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui kaedah ‘redeployment’ (penugasan semula) perjawatan sedia ada,” ujarnya.
Dalam pasa itu, jelas beliau, antara perancangan PDRM ialah menubuhkan briged baharu di Sabah Timur bagi mengukuhkan peranan pengawalan keselamatan di sempadan negara termasuk di beberapa kawasan di Sarawak dan utara Semenanjung.
“Kita yakin fungsi dan peranan agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan darat negara akan dapat diperkukuhkan dengan penyerapan isu-isu berkaitan ‘command and control’ yang boleh ditambah baik PDRM.
“Ini bukan bermakna fungsi AKSEM sebelum ini tidak baik tetapi untuk menentukan ia berjalan dengan lancar, maka penstrukturan semula yang dilakukan selepas mengambil kira daripada segi isu-isu berkaitan ‘command and control’,” jelas beliau.
Dalam pada itu, katanya pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Imigrsen dan JKDM yang memberikan kerjasama selama ini menjayakan AKSEM bersama PDRM dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan menerusi operasi-operasi bersepadu pada masa akan datang. – UTUSAN ONLINE