Sorok dadah RM23j dalam trak tunda - Utusan Malaysia

Sorok dadah RM23j dalam trak tunda

RAZARUDIN Husain (tengah) dalam sidang akhbar rampasan dadah bernilai RM23.7 juta menggunakan trak tunda di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa membawa 448 kilogram dadah jenis methamphetamine dan ketamin bernilai RM23.7 juta menggunakan trak tunda tumpas dengan penahanan dua beranak di Kilometer 7 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Sabtu lalu.

Suspek berusia 58 tahun dan anak lelakinya berusia 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak pada pukul 6 petang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain berkata, trak tunda dinaiki dua beranak itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke satu lokasi di negeri ini dengan membawa sebuah Toyota Alphard.

Katanya, pemeriksaan di dalam Toyota Alphard itu kemudian menjumpai 447 bungkusan dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Siasatan mendapati bekalan dadah itu disyaki diperoleh dari kawasan segi tiga emas sebelum diseludup masuk ke negara ini melalui sempadan Thailand.

“Dadah tersebut dipercayai bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah daripada risikan juga mendapati bahan terlarang itu akan dihantar ke negara jiran seperti Indonesia, Korea Selatan dan Australia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Razarudin, dadah yang dirampas itu dipercayai boleh menampung keperluan lebih dua juta penagih.

Katanya, pihaknya percaya tangkapan ke atas dua suspek dan rampasan terbesar di negeri ini telah memutuskan bekalan untuk kegunaan tempatan dan luar negara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan siapa dalang disebalik sindiket tersebut dan dalam radar kita sendiri memang tahu siapa dia untuk tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Tambah beliau, semakan ke atas rekod lampau dua beranak itu mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif sebarang dadah.

“Dalam tangkapan itu, kita turut menyita wang tunai berjumlah RM19,672. Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 27 Jun lalu hingga 3 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Razarudin berkata, penggunaan perkhidmatan trak penunda dikenal pasti sebagai modus operandi terbaharu yang digunakan sindiket untuk mengedar dadah.

“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penunda kereta didakwa menerima upah daripada pihak tidak dikenali yang mahu menggunakan perkhidmatan mereka di Kelantan.

“Justeru, saya meminta kepada semua ketua polis untuk buat pemeriksaan 100 peratus terhadap trak-trak penunda ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN