TANAH MERAH: “Dulu meriah dan ramai jiran, sekarang tinggal saya seorang”.
Hakikat pahit itu didedahkan Mohd. Hakimi Ibrahim, 24, peniaga tunggal di salah satu blok Plaza Indonesia Malaysia Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga di sini yang masih bertahan ketika sekatan pergerakan penuh atau total lockdown.
Dia yang membuka kedai runcit berkata, rata-rata rakan penyewa di situ berniaga barang perhiasan, kraf tangan, pakaian dan kain batik, bersesuaian dengan imej Plaza IMT-GT Bukit Bunga sebagai mercu tanda pelancongan Kelantan yang baharu.
Malangnya, majoriti mereka jatuh dalam kategori premis perniagaan non-essential dan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh total lockdown kali ini, kecuali kedainya dan beberapa gerai makanan di ruang medan selera.
“Namun, dibenarkan beroperasi ketika total lockdown sebenarnya tidak beri manfaat sangat. Bayangkan kami sampai duduk termenung seharian sebab tiada pelanggan singgah. Nak dapat RM10 pun susah.
“Lama-kelamaan, satu demi satu gerai makanan ditutup. Sekarang tinggal saya sahaja di blok ini manakala blok sebelah pun hanya satu premis masih beroperasi iaitu sebuah kedai ais,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, pekerja kedai ais yang mahu dikenali sebagai Che Mat berkata, majikannya pernah memberitahu pihak pengurusan kali ini membenarkan mereka menangguhkan bayaran sewa RM300 sebulan bagi April, Mei dan Jun.
“Majikan saya berharap dapat dikecualikan bayaran sewa bulanan sekali lagi, sebagaimana April hingga September tahun lalu atau sekurang-kurangnya dipotong separuh berbanding jumlah sebenar,” katanya.
Ketika mula beroperasi pada November 2019, Plaza IMT-GT yang terletak bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Bukit Bunga menerima kehadiran kira-kira 500 pengunjung sehari dengan peniaga mampu meraih sehingga RM7,000 sebulan.
Bagaimanapun, pusat beli-belah sehenti itu didakwa mampu ‘hidup’ kira-kira lima bulan sahaja iaitu November hingga Mac 2020, sebelum bertukar menjadi ‘nyawa-nyawa ikan’ selepas pintu sempadan negara ditutup ekoran penularan Covid-19.
Berkonsepkan rehat dan rawat (R&R), Plaza IMT-GT Bukit Bunga adalah projek pembangunan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di atas kawasan seluas 1.22 hektar dengan kos keseluruhan mencecah RM14.7 juta.
Plaza ini merangkumi dua blok utama menempatkan 30 ruang komersial, tujuh unit pejabat dan masing-masing sebuah medan selera, pasar basah dan taman permainan yang kesemuanya tidak lagi beroperasi akibat pandemik Covid-19.
April lalu, Pengurus Besar Kesedar, Iskandar Zurkarnain Ibrahim memberi jaminan plaza terbabit bukan projek ‘gajah putih’ kerana bakal dijadikan zon bebas cukai ketiga di negeri ini selepas Rantau Panjang di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Tumpat. – UTUSAN











