PM: Segerakan bekalan vaksin - Utusan Malaysia

PM: Segerakan bekalan vaksin

MUHYIDDIN Yassin bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman berbual dengan seorang penerima vaksin yang sedang menunggu giliran di PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, Tangkak, Johor, semalam. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memastikan pembekal menghantar vaksin de­ngan segera ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah membeli dan membayar bekalan vaksin Co­vid-19 bagi menampung ke­perluan rakyat, namun belum menerimanya mengikut tempahan.

Katanya, langkah itu perlu kerana berdasarkan tinjauan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sudah dibuka, ia diuruskan dengan baik tetapi berdepan keka­ngan bekalan yang tidak mencukupi.

“Beberapa PPV juga bersedia meningkatkan kapasiti pemberian vaksin, namun tidak dapat berbuat demikian kerana jumlah vaksin tidak cukup.

“Kerajaan sudah beli dan bayar, namun bekalan vaksin ditempah itu belum sampai, malah seluruh dunia sekarang juga perlukan vaksin.

“Saya sudah arahkan menteri bertanggungjawab memin­ta pem­bekal menghantar vak­sin dengan segera. Jika pe­ngilang keluarkan lebih banyak vaksin, kerajaan harap bekalan vaksin lebih banyak akan dihantar ke negara ini dengan lebih cepat,” katanya selepas meninjau operasi PPV Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir, di sini, semalam.

Kelmarin, Khairy menyalahkan negara-negara Kesatuan Ero­pah (EU) sebagai punca ke­lewatan bekalan vaksin ke ne­gara ini, menyebabkan Malaysia ketinggalan berbanding negara lain.

Negara-negara EU, kata­nya, berunding dengan pembekal vak­sin Covid-19 bagi memboleh­kan mereka membuat pem­belian pukal, apatah lagi ki­lang vaksin semuanya terletak di Eropah.

Bagaimanapun semalam Du­ta EU ke Malaysia, Michalis Rokas menyangkal keras dakwaan Khairy kononnya blok itu membolot vaksin dan menyifatkan tohmahan itu tidak berasas sebaliknya apa yang berlaku membuktikan EU amat prihatin dalam isu itu.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan secara bersama oleh Khairy dan Dr. Adham ditubuhkan untuk memastikan akses bekalan kepada vaksin Covid-19 untuk negara dapat diperoleh dengan kadar segera, selamat, sempurna dan berkesan.

JKJAV juga memainkan pe­ranan penting sebagai Ja­wa­tankuasa Induk dalam me­­rancang, melaksana dan me­mantau keseluruhan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Setakat 20 Jun, sebanyak 5.8 juta dos vaksin telah diberikan kepada penerima yang berdaftar di bawah MySejahtera.

Sementara itu, kata Muhyid­din, kerajaan masih mempu­nyai beberapa hari untuk me­mu­tuskan peralihan Pelan Pe­mulihan Negara ke fasa sete­rusnya boleh dilakukan atau sebaliknya berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi semasa Covid-19 dalam negara serta intervensi yang berse­suai­an.

Beliau menjelaskan, situa­si sebenar sentiasa berubah-ubah meskipun kerajaan telah menentukan sasaran seperti ta­rikh, tempoh, kadar dan jumlah kes serta proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).

“Kita ada beberapa hari lagi. Ya, kalau sekiranya kadar (kes positif) boleh turun lagi, bermakna ikut jadual yang kita ha­rapkan, maka kita akan beralih ke fasa kedua.

“Jadi disebabkan itu, kita ti­dak akan buat pengumuman se­karang. Biasanya kita akan ba­gi ruang dua tiga hari lagi, sa­ma ada kita nak sambung atau kita akan beralih (ke fasa se­terus­nya),” katanya.

Beliau mengulas langkah ke­rajaan mengenai peranca­ngan untuk beralih ke fasa seterusnya memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tamat pada 28 Jun ini hanya tinggal beberapa hari dengan kadar kes masih mele­bihi 4,000 kes.

“Perkara itu (Pelan Pemulihan Negara) kita panggil nilai ambang atau threshold, tetapi kita kena faham keadaan boleh berubah-ubah, sebab itu kita boleh buat sedikit ubah suai.

“(Maka) ini nanti akan diputuskan pada sidang Majlis Ke­se­lamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan untuk nilai keadaan,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata, ke­rajaan juga sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi Kementerian Kesihatan dan seluruh sistem yang ada bagi memastikan kaedah intervensi yang boleh dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN