KUALA PILAH: Pekebun pisang ketika ini berdepan lambakan hasil tani itu khususnya dari jenis berangan yang tidak terjual di peringkat ladang, gara-gara halangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menambah kegusaran mereka, sejak kebelakangan ini, harga diterima daripada peraih dan pemborong bagi setiap sekilogram tandan pisang jatuh di bawah paras RM1.80 meskipun harga pisang itu di peringkat runcit tidak berubah.
Pemilik The Kebun yang terletak di Kampung Tengkek dekat sini, Zurfahiz Hussin, 41, berkata, pisang berangan kira-kira 5,000 pokok yang ditanam secara peringkat sejak Ogos tahun lalu mengeluarkan hasil pertamanya baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak seperti yang dirancang apabila pengeluaran hasil tani itu tiba pada waktu negara sekali lagi terpaksa melaksanakan PKP.
Keadaan itu, menurutnya, menyebabkan pemborong dan peraih mengehadkan pembelian kerana pasar raya yang kurang dikunjungi pelanggan selain hotel yang biasanya mengambil buah pisang dengan gred terbaik daripada pekebun pula tidak beroperasi akibat PKP.
“Keadaan sekarang adalah disebabkan hasil di ladang terlalu banyak, pasaran pula terhad akibat PKP. Peraih mempunyai banyak pilihan dan mereka tawarkan harga rendah kepada pekebun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.
Tambahnya, walaupun agensi kerajaan ada menghulurkan bantuan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi urusan pemasaran tetapi masih tidak memadai untuk mengatasi masalah lambakan itu.
“Jadi pekebun seperti kami juga terpaksa mengambil langkah sendiri dengan mempromosi dan menjual menerusi Facebook. Kami hantar terus kepada pelanggan, tetapi kami terpaksa pula menanggung kos penghantaran,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran buah pisang import juga terus menambah tekanan kepada pengusaha pisang tempatan.
Seorang lagi pekebun pisang, Indra Akmal Misron, 39, berkata, selain pisang berangan, pisang tanduk juga menghadapi isu yang sama dan tidak dapat dijual ketika ini.
“Kebiasannya pisang tanduk ini menjadi pilihan pengusaha-pengusaha kerepek semasa musim perayaan seperti Aidilfitri, namun kali ini tanpa ada sambutan, pisang tanduk tiada pembeli jadi berlaku banyak lambakan di ladang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










