PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Seri Paduka bertitah, keputusan itu bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.
“Perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.
Seri Paduka bertitah demikian selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.
Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan berasingan berkata, Raja-Raja Melayu dalam perbincangan itu sependapat bahawa tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.
“Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.
“Dalam semangat tersebut, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin. Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan Covid-19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini.
“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Pemerintah negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, Raja-Raja Pemerintah juga sependapat supaya program vaksinasi dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.
Selain itu, Raja-Raja Pemerintah senada bahawa program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.
Dalam pada itu, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘exit strategy’ bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Perbincangan khas semalam melibatkan sembilan Raja-Raja Melayu yang bermula pada pukul 2.30 petang, di Istana Negara dekat sini.
Lapan Raja-Raja Melayu berangkat ke perjumpaan itu kecuali Sultan Kelantan manakala Raja Perlis diwakili oleh Raja Muda. Ini kali kedua Raja-Raja Melayu mengadakan pertemuan khas selepas kali pertama pada 25 Oktober tahun lalu. – UTUSAN











