Penduduk tiga kampung tunggu elektrik - Utusan Malaysia

Penduduk tiga kampung tunggu elektrik

AB Zahar Ab Rashid menggunakan tenaga elektrik yang terhad daripada panel solar yang dipasang di atas bumbung rumahnya ketika ditemui di Kampung Dusun Umbut, Jelebu pada 21 Jun 2021.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Sejak zaman Jepun berkuasa sehinggalah kini, 200 penduduk di tiga buah kampung di mukim Kenaboi, dekat sini tidak pernah mendapat kemudahan bekalan elektrik.

Dakwa penduduk dari Kampung Chali, Kampung Dusun Umbut dan Kampung Chuang Lebu hanya pelita minyak tanah yang menjadi penerang.

Bagaimanapun, masalah tersebut dijadual berakhir tahun depan apabila projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) siap.

Sebelum tiba waktu itu, penduduk di 33 buah rumah di tiga kampung berkenaan mengambil inisiatif menggunakan solar dan pam air bagi mendapat elektrik yang hanya memadai untuk menghidupkan lampu.

Seorang penduduk Kampung Dusun Umbut, Ab. Zahar Ab Rashid, 56, berkata, dia memang tidak sabar untuk menanti bekalan elektrik menerusi projek BELB siap untuk menikmati kehidupan seperti orang lain

“Sebelum ini kami hanya guna pelita minyak tanah namun kini sudah menggunakan solar untuk mendapat bekalan elektrik. Solar ini hanya untuk pengganti elektrik pada lampu.

“Memang tiada televisyen di rumah, hanya boleh untuk lampu sahaja, kalau hujan lebat lampu hanya boleh bertahan sehingga pukul 12 tengah malam, kemudian gelap gelita di sini. Saya memang tidak sabar untuk menanti tahun depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampung tersebut, kelmarin.

Saonah Mat, 67 berkata, sebelum ini dia sekeluarga hanya menggunakan lilin namun kini tenaga solar sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan harian.

“Kami pernah rasa guna dapur kayu api dan sekarang sudah menggunakan dapur gas untuk memasak. Kali ini, kami sudah tidak sabar tunggu bekalan elektrik,” katanya.

Ramli Mohammad, 67, pula berkata, dia berharap sebelum ‘menutup mata’, dia sempat menggunakan bekalan elektrik di rumahnya.

“Sehingga sekarang memang tiada televisyen di rumah kerana kami hanya menggunakan solar, setidak-tidaknya jika tiada sebarang masalah ia boleh menerangi waktu malam kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, terdapat lapan buah rumah di Kampung Chalin, 16 buah rumah di Kampung Dusun Umbut dan sembilan rumah di Kampung Chuang Lebu.

“Dijangkakan kesemua kampung ini akan menerima bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada tahun depan. Ia menerusi projek BELB KPLB dengan peruntukan RM4.1 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×